KUALA TERENGGANU, 1 November – Keunikan warisan, seni dan budaya masyarakat Terengganu terus diperkenalkan ke peringkat antarabangsa menerusi program pelancongan berasaskan komuniti yang menghubungkan pelancong luar negara dengan pengalaman kehidupan masyarakat tempatan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Dato' Razali Idris berkata, usaha itu direalisasikan menerusi Terengganu Cultural Discovery Community Immersion Program 2026 yang menghimpunkan delegasi antarabangsa dari Indonesia, Singapura dan Selatan Thailand.
"Program berkenaan bukan sekadar memperkenalkan destinasi pelancongan.
"Malah memberi peluang kepada peserta menghayati sendiri keunikan warisan Terengganu termasuk seni batik, pembuatan keropok dan budaya serta keramahan masyarakat setempat," jelasnya dalam laman sosial rasminya.
Tambahnya, program itu turut melibatkan pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) serta pengusaha homestay sekitar Teluk Ketapang sebagai usaha memperluaskan penglibatan komuniti dalam sektor pelancongan.
"Insya-Allah, kita akan memperkukuh program ini melalui lawatan silang budaya bagi membuka lebih banyak ruang pertukaran pengalaman, kerjasama pelancongan dan jaringan antarabangsa," ujarnya.
Razali berkata, pendekatan berkenaan penting bagi memastikan pembangunan sektor pelancongan bukan sahaja menarik kehadiran pelancong, tetapi turut menjana pendapatan kepada pengusaha homestay, penggiat seni, peniaga dan komuniti setempat.
"Kita bawa budaya Terengganu ke dunia, dan kita bawa manfaat ekonomi dunia kembali kepada rakyat Terengganu.
"Terengganu bukan sekadar untuk dikunjungi, tetapi untuk dialami, dihargai dan diceritakan kepada dunia," katanya.