KUALA TERENGGANU, 30 Oktober - Cadangan pembangunan Pusat Pembangunan Komuniti (CDC) akan menjadi platform sehenti bagi peniaga Pasar Kedai Payang.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah, CDC dapat membantu golongan tersebut mendapatkan pelbagai perkhidmatan berkaitan perniagaan mereka.

"Saya berharap inisiatif ini dapat menjadi platform yang menghubungkan peniaga dengan agensi berkaitan, di samping memperkukuh keupayaan komuniti setempat melalui perkongsian ilmu, penerapan inovasi dan kerjasama strategik," katanya.

Ulasnya lagi, cadangan itu diteliti melalui lawatan ke tapak yang dicadangkan bersama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Persatuan Penjaja Cawangan Kuala Terengganu dan pihak Agrobank.
Wan Sukairi berharap cadangan tersebut dapat direalisasikan agar manfaatnya dapat dinikmati oleh peniaga dan penduduk setempat.
