KUALA NERUS, 29 Oktober – Pembinaan benteng tanah perkuburan Kampung Pengkalan Maras yang berdepan ancaman hakisan pantai kini siap sepenuhnya, sekali gus memberikan kelegaan kepada penduduk setempat yang sekian lama bimbang terhadap keselamatan kawasan perkuburan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, dengan siapnya benteng tersebut ia merupakan perkembangan yang amat melegakan, khususnya bagi penduduk dan waris yang mempunyai ahli keluarga dikebumikan di kawasan tersebut.
Menurutnya, hakisan pantai yang berlaku beberapa tahun lalu menyebabkan sebahagian kubur berhampiran laut terpaksa dialihkan bagi memelihara kehormatan tanah perkuburan serta mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk.
Justeru, pembinaan benteng berkenaan amat penting sebagai langkah melindungi kawasan perkuburan daripada ancaman hakisan pantai, di samping memberikan ketenangan kepada waris dan masyarakat setempat.
“Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT serta usaha dan kerjasama semua pihak yang terlibat, akhirnya kerja-kerja pembinaan benteng ini dapat disempurnakan.
“Semoga benteng ini dapat bertahan dengan baik dan memberikan perlindungan sewajarnya untuk jangka masa panjang,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat, khususnya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Batu Rakit, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta penduduk kampung yang memberikan kerjasama sehingga projek berkenaan berjaya disiapkan.
Menurutnya, usaha tersebut mencerminkan tanggungjawab bersama dalam menjaga kebajikan rakyat, memelihara kemudahan masyarakat serta memastikan kawasan berkepentingan penduduk terus diberikan perhatian.
Beliau berharap segala usaha dan sumbangan semua pihak dalam menjayakan pembinaan benteng berkenaan menjadi amal kebajikan yang berpanjangan serta mendapat ganjaran daripada Allah SWT.