Jalur Gemilang
Berita :
Gading Mini Houseboat Berpotensi Jadi Tarikan Pelancongan di Buluh Gading
Gading Mini Houseboat Berpotensi Jadi Tarikan Pelancongan di Buluh Gading
Mohd Haniff Abas
7 jam yang lepas
125

KUALA TERENGGANU, 29 Oktober– Projek pelancongan komuniti, Gading Mini Houseboat yang diusahakan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Buluh Gading berpotensi menjadi tarikan baharu kepada pengunjung yang ingin menikmati keindahan alam semula jadi Sungai Nerus.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim berkata, inisiatif seumpama itu wajar disokong kerana dapat memperkenalkan keunikan kawasan setempat serta membuka peluang ekonomi kepada penduduk melalui sektor pelancongan.

“Usaha seperti ini perlu disokong kerana bukan sahaja menawarkan pengalaman rekreasi yang menarik kepada pengunjung, malah berpotensi membantu menjana pendapatan komuniti setempat,” katanya ketika sesi pandu uji Gading Mini Houseboat di Sungai Nerus, baru-baru ini.

Kemudahan itu dilengkapi dapur, bilik rehat dan bilik air bagi memberikan keselesaan kepada pengunjung yang ingin melakukan aktiviti memancing udang dan ikan, bermalam di tengah sungai atau menikmati keindahan pesisir Sungai Nerus.

Menurut beliau, kedudukan Kampung Buluh Gading yang tidak jauh dari muara Sungai Terengganu turut memberikan kelebihan kepada projek berkenaan untuk menarik pengunjung.

“Dengan keunikan sungai dan kedudukannya yang berhampiran dengan tarikan pelancongan seperti Drawbridge, Masjid Kristal dan Taman Tamadun Islam, kawasan ini mempunyai potensi untuk diketengahkan sebagai salah satu pilihan rekreasi kepada pengunjung,” katanya.

Projek berkenaan diharap dapat berkembang sebagai produk pelancongan komuniti yang berdaya maju, sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi dan memberikan manfaat kepada penduduk setempat.

Orang ramai yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut atau menggunakan kemudahan Gading Mini Houseboat boleh menghubungi Suhaimi menerusi talian 014-356 7007.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan