Berita :
Aidilfitri Serlah Nilai Kebersamaan, Perkukuh Kesejahteraan Rakyat – MB Terengganu
Aidilfitri Serlah Nilai Kebersamaan, Perkukuh Kesejahteraan Rakyat – MB Terengganu
Rohayati Ripin
4 jam yang lepas
78

KUALA TERENGGANU, 19 Mac – Sambutan Hari Raya Aidilfitri perlu dijadikan platform untuk memperkukuh semangat kebersamaan dan memacu kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Aidilfitri bukan sekadar perayaan, sebaliknya membawa makna kembali kepada fitrah yang bersih dan membentuk insan lebih sabar, prihatin serta bertanggungjawab.

Katanya, sepanjang Ramadan, umat Islam bukan sahaja menahan lapar dan dahaga, tetapi turut dilatih menjauhi sifat negatif seperti amarah, keangkuhan dan perpecahan.

“Ramadan juga mengajar kita tentang erti kebersamaan. Kita melihat masjid dan surau dipenuhi dengan jemaah, keluarga berkumpul untuk berbuka puasa dan masyarakat saling membantu mereka yang memerlukan. 

"Semangat inilah yang perlu kita bawa bersama selepas berakhirnya Ramadan ini," jelasnya dalam laman sosialnya hari ini.

Menurutnya, Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian budaya, bahasa dan agama.

"Namun di sebalik kepelbagaian itu, kita berkongsi satu harapan yang sama iaitu untuk hidup dalam sebuah negara yang aman, stabil dan sejahtera," ujarnya. 

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan negeri komited memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara melalui pendekatan yang konstruktif, termasuk memastikan suara rakyat didengari serta kebajikan mereka diberi keutamaan.

Katanya, kemajuan negeri tidak boleh diukur hanya melalui pembangunan fizikal atau pertumbuhan ekonomi semata-mata, sebaliknya perlu disokong oleh kekuatan nilai, keutuhan institusi dan perpaduan masyarakat.

"Oleh itu, marilah kita jadikan Aidilfitri ini sebagai titik permulaan untuk memperkukuhkan semula semangat kebersamaan kita bersama," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan anak perantau yang pulang ke kampung halaman agar sentiasa mengutamakan keselamatan di jalan raya sepanjang musim perayaan.

"Utamakan keselamatan agar kepulangan kita dapat diraikan bersama sanak saudara tersayang. Semoga perjalanan anda selamat dan dipermudahkan," katanya.

Beliau juga menzahirkan keprihatinan terhadap golongan yang menyambut Aidilfitri dalam keadaan sederhana atau berdepan cabaran hidup, sambil menegaskan bahawa semangat solidariti rakyat sentiasa menjadi kekuatan negara.

Justeru itu, beliau berharap nilai kesabaran, keikhlasan dan keinsafan yang dipupuk sepanjang Ramadan terus menjadi panduan dalam membina masyarakat yang lebih adil, makmur dan bersatu padu.

"Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin," tambah beliau.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan