KUALA TERENGGANU, 13 Julai – Kerajaan Negeri berhasrat mengaktifkan semula kawasan penanaman padi yang telah lama terbiar di Kuala Berang menerusi penglibatan pemilik tanah, pengusaha dan kerjasama pihak swasta bagi meningkatkan pengeluaran padi negeri dan memperkukuh keterjaminan makanan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim berkata, kawasan sawah lama di Kampung Gaung, Kampung Telaga, Kampung Padang Ipoh, Kampung Bukit Gemuroh dan Kampung Kuala Akob masih mempunyai potensi besar untuk diusahakan semula kerana memiliki sistem pengairan sedia ada.
"Kawasan berkenaan dapat diaktifkan semula sekiranya terdapat pengusaha atau pemilik tanah yang komited dan bersungguh-sungguh mengusahakannya.
"Jabatan dan agensi berkaitan pula boleh membantu melalui pemulihan infrastruktur sistem pengairan, pemberian insentif yang bersesuaian, kawalan guna tanah, penggunaan teknologi moden serta galakan kepada petani dan pengusaha untuk terus mengusahakan sawah secara produktif," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr. Haji Mamad Puteh pada Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Menurut Dr. Azman, pengaktifan semula kawasan berkenaan bergantung kepada komitmen pemilik tanah atau pengusaha yang benar-benar berminat mengusahakannya secara serius.
"Manakala kerajaan bersedia menyediakan sokongan melalui pemulihan infrastruktur pengairan, bantuan teknikal, insentif serta penggunaan teknologi moden," ujarnya.
Beliau menambah , kawasan sawah di Kampung Padang Ipoh, Kampung Bukit Gemuroh dan Kampung Kuala Akob didapati tidak lagi diusahakan sejak tahun 2000 berikutan perubahan guna tanah, kekurangan pengusaha aktif dan peningkatan kos input pertanian serta operasi jentera.
Katanya, kerajaan turut meneliti model pembangunan yang melibatkan pemain industri daripada golongan belia bagi membolehkan aktiviti penanaman padi secara komersial dilaksanakan dengan lebih mampan, di samping menambah baik infrastruktur berkaitan.
Dr. Azman memaklumkan, Terengganu kini mempunyai keluasan sawah padi sebanyak 12,457 hektar, dengan 6,592 hektar daripadanya merupakan kawasan padi aktif di luar jelapang.
"Di Hulu Terengganu pula terdapat empat skim pengairan utama melibatkan keluasan 228 hektar. Bagaimanapun, hanya 168.41 hektar ditanam pada tahun 2025, manakala Skim Kemat masih belum dapat diusahakan berikutan kerja-kerja menaik taraf sistem saliran yang sedang dilaksanakan," katanya.
Dalam masa yang sama, kerajaan terus bekerjasama dengan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) bagi menyalurkan pelbagai insentif kepada pesawah yang layak, termasuk Insentif Pembajakan, Insentif Penuaian dan Program Subsidi Baja Padi Kerajaan Persekutuan.
"Bagi sektor penanaman padi, peranan utama LPP ialah melaksanakan penyaluran insentif kerajaan dan bantuan lain yang diumumkan dari semasa ke semasa.
"Bantuan tersebut disalurkan kepada petani yang berdaftar dan mengusahakan tanaman padi mengikut syarat serta prosedur operasi standard (SOP) yang berkuat kuasa," tambah Dr Azman.