KUALA TERENGGANU, 21 September – Anak kelahiran Kampung Mak Kemas, Bukit Payong, Muhammad Zulfadlli Abdul Ghani, 34, mencipta kejayaan apabila muncul johan dalam dua kategori pertandingan seni khat pada Festival Kaligrafi Islam Terengganu Peringkat Kebangsaan Kali Ke-2.
Muhammad Zulfadlli menjuarai kategori Karya Siap bagi medium batik dan kanvas dalam pertandingan yang berlangsung di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, di sini, semalam.
Minatnya terhadap dunia seni sejak di bangku sekolah ternyata membuahkan hasil apabila dia membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 bagi setiap kategori yang dimenanginya.
Pegawai Penguat Kuasa Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) itu berkata kemenangan berkenaan di luar jangkaannya selepas sebelum ini hanya memperoleh hadiah saguhati dalam pertandingan seumpama itu.
“Saya memang tidak sangka dapat menjadi juara kerana persaingan sangat sengit. Semua karya yang dipersembahkan peserta juga cantik dan proses menyiapkan karya mempunyai cabaran tersendiri.
“Sebelum ini apabila menyertai pertandingan seperti ini, saya sekadar mendapat saguhati,” katanya.
Muhammad Zulfadlli berkata penganjuran program seumpama itu oleh kerajaan negeri mampu menarik lebih ramai golongan muda mengenali dan mendalami keindahan seni Islam.

Abdul Hadi yang mempunyai pengalaman selama 10 tahun dalam bidang seni khat menghasilkan karya menggunakan khat Suluk dan Nasakh dalam tempoh tiga jam.
Karyanya mengetengahkan frasa ‘Terengganu Maju Berkat Sejahtera’ selain mempamerkan keindahan ayat al-Quran.
Menurutnya, kekangan masa menjadi antara cabaran utama dalam kategori berkenaan memandangkan karya perlu disiapkan dalam tempoh tiga jam.
“Biasanya bagi kategori karya siap, prosesnya boleh mengambil masa sehingga seminggu. Tetapi bagi kategori ini, semuanya perlu disiapkan dalam tempoh tiga jam.
“Jadi persiapan teknikal perlu disusun lebih awal supaya proses menghasilkan karya berjalan lancar.
“Selain tekanan masa, suasana pertandingan juga menjadi cabaran, terutama apabila melihat peserta lain sudah hampir menyiapkan karya mereka,” katanya.
Abdul Hadi berkata usaha Terengganu memartabatkan seni kaligrafi Islam perlu diteruskan kerana seni khat mempunyai kaitan rapat dengan syiar Islam, khususnya dalam penulisan ayat al-Quran.
Katanya, perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) turut menjadikan penguasaan seni khat semakin penting kerana teknologi berkenaan masih belum mampu menghasilkan khat dengan sempurna dan mempunyai kelemahan tersendiri.

Muhammad Nur Hazwan yang mengusahakan syarikat khat, Four Eyes Enterprise, berkata minatnya dalam bidang itu bermula sejak Tingkatan Empat selepas menerima dorongan daripada seorang guru.
Menurutnya, penganjuran program seumpama itu penting bagi memastikan seni khat terus berkembang dalam kalangan generasi muda.
“Seni khat bukan seni yang ketinggalan zaman. Sekarang pun ramai remaja mula menulis khat semula, selain sekolah turut memberi penekanan terhadap tulisan Jawi yang berkait rapat dengan khat.
“Namun apabila memasuki sekolah menengah, tidak ramai yang meneruskannya. Sebab itu program seperti ini penting untuk memberi ruang kepada mereka yang mempunyai kemahiran supaya bakat tersebut dapat dikembangkan dan diteruskan,” katanya.
