Jalur Gemilang
Berita :
Pesara 56 Tahun Bergelar Juara Dunia Memanah
Pesara 56 Tahun Bergelar Juara Dunia Memanah
Rohayati Ripin
8 jam yang lepas
224

KUALA TERENGGANU, 5 November – Bermula dengan membeli busur buatan China secara dalam talian kerana minat terhadap sukan memanah, seorang pesara fisioterapi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menyangka kecenderungan yang dipupuk sejak kira-kira 10 tahun lalu akhirnya membawanya bergelar juara dunia.

Ahmad Harun, 56, yang lebih dikenali sebagai Haji Ahmad De La Temala, mencipta kejayaan membanggakan apabila muncul juara acara Puta 70 Meter pada Kejohanan 2026 Korea Ulsan World Traditional Archery Championship di Korea Selatan.

Anak jati Kampung Temala Hilir, Pengkalan Berangan itu berkata, beliau berasa amat teruja dan bersyukur kerana berjaya menunaikan harapan yang disandarkan kepadanya untuk mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Menurutnya, minat terhadap sukan memanah bermula kira-kira 10 tahun lalu apabila beliau membeli busur secara dalam talian sebelum mula mencari rakan-rakan yang turut berkongsi minat sama.

"Daripada situ, minat saya semakin berkembang apabila mula mengenali komuniti pemanah dan menyertai pelbagai pertandingan sehingga pernah bergelar juara di peringkat negeri dan kebangsaan.

"Alhamdulillah, percubaan ketiga saya menyertai pertandingan di luar negara akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya membawa pulang pingat emas," jelasnya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman, hari ini.

Tambahnya, bagi menghadapi acara Puta 70 Meter, persiapan latihan dimulakan sejak awal tahun ini selepas terpilih mewakili negara ke Sukan World Nomad Games di Kazakhstan pada September 2026.

Katanya, latihan diteruskan secara konsisten sebagai persediaan menghadapi kejohanan antarabangsa, termasuk WTF Championship di Ulsan, Korea Selatan.

Kejayaan menewaskan wakil Mongolia, Ganzorig Bat-Erdene dalam aksi final menjadi kemuncak kepada usaha dan latihan berterusan yang dilakukannya.

Ahmad yang kini menetap di Kampung Rusila, Marang membuktikan bahawa minat, kesungguhan dan disiplin mampu membawa seseorang mencapai kejayaan besar tanpa mengira usia.



Tag :

Sukan
Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan