Jalur Gemilang
Berita :
Had Stok Barang Kawalan Dinaikkan 30 Peratus Hadapi Banjir di Terengganu
Had Stok Barang Kawalan Dinaikkan 30 Peratus Hadapi Banjir di Terengganu
Mastura Jamal Din
11 jam yang lepas
110

KUALA TERENGGANU, 5 November – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu membenarkan pemborong dan peruncit terpilih meningkatkan simpanan barangan kawalan sehingga 30 peratus melebihi had lesen sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027.

Pengarah KPDN Terengganu, Mohd Mufsi Lat berkata, kebenaran sementara itu diberikan kepada 100 pemborong terpilih daerah (Dedicated District Wholesaler – DDW) dan 171 peruncit terpilih daerah (Dedicated District Retailer – DDR) yang dilantik sebagai pemegang stok mini di seluruh negeri.

Menurutnya, langkah itu bertujuan memastikan bekalan barangan keperluan mencukupi, khususnya di kawasan berisiko banjir sepanjang musim tengkujuh.

“Pihak yang dilantik diberikan kebenaran sementara untuk meningkatkan had simpanan barangan kawalan sehingga 30 peratus melebihi had yang dibenarkan dalam lesen sepanjang tempoh bencana banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2026 di Pacific Grocer, KTCC Mall, semalam.

Mohd Mufsi berkata, KPDN turut mengaktifkan Pusat Arahan Penguatkuasaan (Enforcement Command Centre – ECC) di setiap pejabat cawangan bagi menyelaras tindakan sekiranya berlaku bencana banjir.

Katanya, pusat berkenaan akan beroperasi setiap hari bermula jam 8 pagi hingga 10 malam sepanjang tempoh bencana bagi memastikan isu berkaitan bekalan dan harga barangan dapat ditangani segera.

Selain itu, pemeriksaan dan pemantauan harian turut dilaksanakan di sepanjang rantaian pengedaran bagi memastikan bekalan barangan keperluan sentiasa mencukupi.

Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai, komuniti setempat dan peniaga menghubungi ECC KPDN Terengganu sekiranya berlaku gangguan bekalan barangan kawalan, kenaikan harga tidak munasabah atau kegiatan penyorokan barangan.

Mohd Mufsi turut mengingatkan peniaga supaya menjalankan perniagaan secara beretika dan mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa.

Pengguna pula dinasihatkan merancang perbelanjaan, membandingkan harga dan mengelakkan pembelian panik sepanjang musim tengkujuh.

“Persiapan berkenaan diharap dapat memastikan keperluan rakyat terus terjamin dan kelancaran bekalan barangan di seluruh Terengganu sepanjang musim tengkujuh,” katanya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan