Jalur Gemilang
Berita :
Anak Orang Asli Perlu Peluang Pendidikan Lebih Luas
Anak Orang Asli Perlu Peluang Pendidikan Lebih Luas
Rohayati Ripin
4 jam yang lepas
30

HULU TERENGGANU, 11 Oktober – Anak-anak masyarakat Orang Asli perlu diberikan peluang pendidikan lebih luas supaya mereka dapat membina keyakinan diri dan mengejar cita-cita tanpa dibatasi tempat kelahiran atau latar belakang kehidupan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Salleh berkata, pendidikan bukan sekadar pembelajaran di bilik darjah, tetapi turut membuka pemikiran dan membina keberanian anak-anak untuk mencapai kejayaan.

Menurutnya, anak-anak di Kampung Sungai Berua perlu diberi keyakinan bahawa mereka juga mempunyai peluang untuk berjaya melalui ilmu dan pendidikan.

“Kita mahu mereka menyayangi ilmu, kita mahu mereka berani bermimpi, kita mahu mereka melihat pendidikan sebagai jalan untuk membina kehidupan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Sentuhan Kasih Sejuta Erti Se-Kasih (SEKASIH 2026) anjuran Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) di Kampung Sungai Berua, semalam.

Mohd Zawawi berkata, masyarakat dan kerajaan negeri perlu bersama-sama memastikan anak-anak Orang Asli merasakan masa depan mereka mendapat perhatian serta keprihatinan semua pihak.

Katanya, pembangunan komuniti itu perlu dilaksanakan secara menyeluruh, merangkumi pendidikan, kebajikan, sains dan teknologi, pembangunan keluarga serta hubungan kemasyarakatan.

“Masyarakat orang asli merupakan sebahagian daripada keluarga besar Terengganu. Mereka bukan berada di luar daripada agenda pembangunan negeri.

“Mereka mempunyai tempat, peranan, potensi dan masa depan yang perlu diberi perhatian bersama,” katanya.

Menurutnya, pembangunan yang berkesan perlu membuka peluang kepada masyarakat Orang Asli untuk membina kehidupan lebih baik serta menikmati manfaat kemajuan negeri.
Dalam masa sama, beliau menekankan kepentingan kerjasama antara agensi kerajaan dan pihak berkaitan bagi memastikan usaha pembangunan komuniti itu dapat dilaksanakan secara berterusan.

Katanya, program seumpama itu diharapkan menjadi asas untuk memperkukuh hubungan dan kerjasama, selain memastikan setiap lapisan rakyat berasa dihargai serta dipedulikan.

“Kerana negeri yang sejahtera, bukan hanya negeri yang maju bangunannya, tetapi negeri yang rakyatnya merasai dihargai, dipeduli dan tidak pernah ditinggalkan,” katanya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan