Berita :
Atlet Terengganu Nelang Mula Mengatur Langkah di Jenagor
Atlet Terengganu Nelang Mula Mengatur Langkah di Jenagor
Wan Mohammad Omar Ajmain
1 hari yang lepas
97

HULU TERENGGANU, 29 Mac – Semangat “Terengganu Nelang” kini kembali membara apabila keseluruhan atlet daripada 35 acara sukan yang bakal mewakili Negeri Terengganu ke temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 kini berada dalam fasa persediaan rapi menerusi Kem Pemantapan Terengganu Nelang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail berkata, kem yang diadakan di Akademi Binaan Malaysia (ABM) Jenagor itu, bertujuan mengukuhkan jati diri dan persediaan mental para atlet sebelum menggalas cabaran di Selangor pada Julai tahun ini.

Menurut beliau, penglibatan hampir kesemua acara sukan, iaitu 35 daripada 37 acara keseluruhannya, menunjukkan komitmen jitu kontinjen negeri dalam memastikan persiapan berada di tahap tertinggi.

“Saya mengharapkan setiap peserta dapat berusaha dengan sehabis baik dan memberikan tumpuan sepenuhnya sepanjang kem ini berlangsung.

“Kejayaan tidak datang bergolek, maka semangat juang yang tinggi amat diperlukan bagi memastikan sasaran pingat emas dapat dibawa pulang ke bumi Terengganu,” katanya ketika menyantuni para atlet di kem tersebut, baru-baru ini.

Hadir sama dalam program tersebut ialah Timbalan Pengarah (Pembangunan) Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Dr.  Nasree Najmi serta Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan Masyarakat) Pejabat Daerah Hulu Terengganu, Muhammad Ariff Syahdan Ab Razak.
Mohd Zawawi turut menzahirkan penghargaan kepada pihak penganjur dan Pejabat Daerah Hulu Terengganu atas inisiatif mengumpulkan para atlet bagi menyemarakkan lagi gelombang “Terengganu Nelang” di persada sukan kebangsaan.

Untuk rekod, Terengganu terus mensasarkan keputusan cemerlang pada edisi SUKMA kali ini bagi mengekalkan reputasi sebagai antara kuasa besar sukan di Malaysia.


Ketupat

Artikel Berkaitan