Jalur Gemilang
Berita :
Bangsal Pata Kembalikan Nostalgia Lama di Karnival Pantai Terengganu 2026
Bangsal Pata Kembalikan Nostalgia Lama di Karnival Pantai Terengganu 2026
Mastura Jamal Din
5 jam yang lepas
276

KUALA NERUS, 14 September – Alunan zapin, irama lagu rakyat dan persembahan dikir barat bakal mengembalikan nostalgia kehidupan masyarakat Terengganu suatu ketika dahulu menerusi Bangsal Pata sempena Karnival Pantai Terengganu 2026.

 Program yang mengetengahkan konsep warisan dan kekeluargaan itu adalah sebahagian daripada program sokongan kepada Karnival Pantai Terengganu yang berlangsung di Teluk Ketapang, Kuala Nerus pada 15-19 September ini.

 Pengarah Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu (MPTN), Dato'  Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, penganjuran Bangsal Pata merupakan antara usaha pihaknya memastikan warisan seni dan budaya negeri terus dekat dengan masyarakat, khususnya generasi muda.

 Katanya, perubahan zaman dan perkembangan teknologi tidak seharusnya menyebabkan generasi baharu semakin jauh daripada akar budaya serta jati diri negeri.

 “Warisan yang kita miliki adalah identiti dan jati diri masyarakat Terengganu. Justeru, ia perlu terus dihidupkan dan diwariskan kepada generasi akan datang.

 “Bangsal Pata menjadi ruang untuk kita mempertemukan generasi lama dan baharu melalui seni, budaya serta aktiviti yang pernah menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat kita,” katanya.

Menurut beliau, pelbagai pengisian disediakan sepanjang program termasuk persembahan lagu rakyat, rodat dan zapin Terengganu oleh Pertubuhan Nota Emas, persembahan dikir barat Anak Seni Bukit Bading, karaoke santai dan Malam Nostalgia 60-an dan 70-an oleh SaGa Warisan serta penglibatan oleh NGO Pulihara Terengganu.

 Selain itu, orang ramai boleh menyertai pertandingan pakaian beragam anak Terengganu, pertandingan memasak, pertandingan mewarna, aktiviti unggun api dan salam selawat serta Beach Futsal 3 on 3 bagi kanak-kanak.

 Program turut diserikan dengan persembahan busking muzik Evergreen bagi melengkapkan suasana santai bersama keluarga.

 Tun Ahmad Faisal berkata, konsep Bangsal Pata dipilih bagi menghidupkan kembali suasana masyarakat terdahulu yang menjadikan bangsal sebagai tempat berkumpul, bersembang dan mengeratkan hubungan sesama keluarga serta jiran.

 “Dahulu, bangsal bukan sekadar tempat berteduh tetapi menjadi ruang masyarakat berkumpul dan mengeratkan silaturahim. Semangat itulah yang cuba kita bawa kembali melalui Bangsal Pata.

 “Kita mahu warisan itu terus hidup dan dirasai, bukan sekadar dikenang,” katanya.

 Beliau berkata, pengisian berasaskan warisan itu juga memberi peluang kepada ibu bapa memperkenalkan kepada anak-anak mengenai seni dan budaya tempatan dalam suasana santai serta menyeronokkan.

 Katanya, usaha memelihara warisan perlu dilakukan secara berterusan kerana sesuatu budaya akan hilang sekiranya tidak diamalkan dan diwariskan.

 “Generasi muda adalah pewaris kepada segala khazanah yang kita miliki hari ini. Jika mereka tidak mengenalinya, lambat-laun warisan itu akan hanya tinggal nama.

 “Sebab itu kita mahu Bangsal Pata menjadi pengalaman yang meninggalkan kesan kepada pengunjung – khususnya anak-anak supaya mereka pulang dengan rasa bangga terhadap warisan Terengganu,” katanya.

 Sehubungan itu, orang ramai dijemput memeriahkan Bangsal Pata sepanjang Karnival Pantai Terengganu 2026, sekali gus menikmati gabungan seni, budaya, rekreasi dan aktiviti kekeluargaan dalam suasana pantai.

 Bangsal Pata mengangkat tema ‘Warisan Menghubungkan Kita’, membawa mesej bahawa warisan bukan sekadar tinggalan masa lalu, sebaliknya menjadi jambatan yang menyatukan generasi hari ini dengan sejarah dan jati diri negeri.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan