KUALA TERENGGANU, 21 April - Persoalan mengenai kesiapsiagaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibangkitkan apabila kemudahan itu dilihat masih tidak berada ditahap mencukupi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof mempersoalkan sama ada kemudahan PPS sedia ada benar-benar bersedia untuk menghadapi situasi banjir yang berulang setiap tahun yang turut akan menjadi penempatan utama mangsa banjir untuk sesuatu tempoh.

"Isu banjir besar yang melanda Daerah Setiu khususnya di Kawasan Langkap bukan lagi perkara luar biasa. Ia berlaku saban tahun dan telah menjadi satu kitaran berulang yang memberi kesan besar kepada kehidupan rakyat.
"Berdasarkan rekod, ribuan mangsa terlibat setiap tahun, dan ini menunjukkan bahawa cabaran ini memerlukan pendekatan berterusan dan tersusun," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan menjunjung kasih titah Pemangku Raja, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin pada Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 di Wisma Darul Iman hari ini.
Menurut beliau, walaupun pelbagai usaha tebatan banjir telah dilaksanakan, namun kesannya masih belum mencukupi untuk mengurangkan impak secara menyeluruh.
Dalam masa sama, Azmi menegaskan bahawa peranan PPS kini telah berubah daripada sekadar tempat perlindungan sementara kepada penempatan utama mangsa banjir.
"Saya ingin menegaskan bahawa PPS bukan sekadar tempat perlindungan sementara, tetapi menjadi tempat tinggal utama mangsa dalam tempoh beberapa hari, malah ada kalanya berlarutan lebih lama," katanya.
Jelasnya lagi, perubahan realiti tersebut menuntut penyediaan kemudahan yang lebih lengkap dan selesa, namun keadaan semasa menunjukkan sebaliknya.
"Realitinya, terdapat PPS yang tidak mampu menampung kapasiti mangsa banjir dan kekurangan kemudahan asas yang mencukupi," ujarnya.
Tambahnya, apabila berlaku banjir besar, jumlah mangsa meningkat dengan ketara tetapi ruang yang disediakan terlalu terhad sehingga menyebabkan kesesakan dan ketidakselesaan.
"Apabila berlaku banjir besar, jumlah mangsa meningkat dengan ketara, namun ruang yang disediakan terlalu terhad.
"Ini menyebabkan kesesakan, ketidakselesaan serta menimbulkan risiko kesihatan terutamanya kepada warga emas, kanak-kanak dan golongan OKU," katanya.
Sehubungan itu, Azmi menggesa pendekatan lebih menyeluruh oleh Kerajaan Negeri melalui pembinaan PPS baharu, naik taraf kemudahan serta perancangan berasaskan data bagi memastikan kebajikan mangsa terus terpelihara.