Berita :
Ahli Parlimen Terengganu Gesa Putrajaya Bertindak Tegas Isu Rohingya, Bawa ke Parlimen
Ahli Parlimen Terengganu Gesa Putrajaya Bertindak Tegas Isu Rohingya, Bawa ke Parlimen
Husaif Mamat
7 jam yang lepas
131

KUALA TERENGGANU, 11 Jun — Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim menggesa Kerajaan Persekutuan mengambil tindakan tegas dan menyeluruh berhubung isu pelarian Rohingya yang semakin mencetuskan keresahan rakyat.

Beliau berkata, keresahan itu tidak boleh dipandang ringan susulan reaksi meluas di media sosial serta petisyen awam yang menurutnya telah mengumpulkan lebih 420,000 tandatangan.

“Apabila lebih 420,000 rakyat tampil menyatakan pendirian mereka, ini adalah isyarat jelas bahawa rakyat mahukan tindakan, bukan alasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Amzad berkata, Malaysia selama ini mengambil pendekatan berperikemanusiaan dengan memberi perlindungan sementara kepada pelarian Rohingya, walaupun negara ini bukan penandatangan Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokol 1967.

Namun, katanya, prinsip kemanusiaan tidak boleh mengatasi aspek keselamatan rakyat, ketenteraman awam dan kedaulatan negara.

“Rakyat Malaysia tidak menolak nilai kemanusiaan, namun kemanusiaan tidak boleh mengatasi kedaulatan undang-undang.

“Keselamatan rakyat, ketenteraman awam dan kedaulatan negara mesti kekal sebagai keutamaan tertinggi,” katanya.

Menurut beliau, rakyat semakin terkesan dengan pelbagai isu yang dikaitkan dengan sebahagian komuniti Rohingya termasuk kesalahan jenayah, pemanduan tanpa lesen, penyalahgunaan dokumen UNHCR, penempatan tidak sah, masalah kebersihan serta aktiviti mengemis yang mengganggu ketenteraman awam.

Katanya, keadaan bertambah membimbangkan apabila terdapat pihak yang dilihat semakin berani membuat tuntutan melangkaui status mereka sebagai pelarian sementara.

Dalam masa sama, beliau berkata, rakyat turut mempersoalkan beban terhadap kemudahan awam termasuk tunggakan bil rawatan warga asing yang akhirnya memberi tekanan kepada sistem kesihatan negara.

Ahmad Amzad turut merujuk insiden kemalangan jalan raya baru-baru ini yang mengorbankan Allahyarham Saifullah Isyraf Shamsudin, yang didakwa melibatkan pemandu warga Rohingya tanpa lesen.

Beliau menyifatkan kejadian itu sebagai peringatan bahawa kelemahan penguatkuasaan boleh memberi kesan langsung kepada keselamatan rakyat.

Justeru, beliau menggesa kerajaan mempercepatkan rundingan bersama UNHCR bagi penempatan semula pelarian ke negara ketiga.

Selain itu, katanya, kerajaan juga perlu memperketatkan penguatkuasaan undang-undang, membanteras aktiviti tidak sah melalui operasi bersepadu, mengkaji semula dasar sedia ada dan memperkukuh kawalan sempadan serta pesisir pantai bagi mengekang sindiket penyeludupan manusia.

“Saya akan membawa isu ini ke Parlimen bagi menuntut penjelasan serta pelan tindakan yang jelas dan berkesan daripada kerajaan demi memastikan kepentingan rakyat dan negara terus terpelihara,” katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan