KUALA NERUS, 11 Jun – Kerajaan negeri sentiasa komited dalam memastikan syariat Islam terus diperkasakan dan dilaksanakan secara menyeluruh dalam kehidupan masyarakat melalui pelbagai pendekatan termasuk penglibatan aktif Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), pegawai masjid serta jawatankuasa masjid.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah Dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pelaksanaan syariah tidak hanya terhad kepada aspek perundangan, tetapi meliputi pendidikan, dakwah, pembentukan akhlak, pemeliharaan institusi keluarga serta pembangunan masyarakat yang berteraskan nilai-nilai Islam.

“Dalam konteks ini, pengerusi JPKK, pegawai masjid dan jawatankuasa masjid merupakan kelompok yang sangat hampir dengan masyarakat memandangkan mereka bukan sahaja berfungsi sebagai pemimpin komuniti, bahkan menjadi rujukan masyarakat dalam pelbagai perkara termasuk berkaitan kebajikan, pembangunan sosial, pendidikan dan juga hal ehwal agama,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Dialog Pelaksanaan Syariah Bersama JPKK, Pegawai Masjid dan Jawatankuasa Masjid di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, di sini, hari ini.

Menurut beliau, peranan ketua-ketua masyarakat sangat penting kerana mereka merupakan barisan hadapan yang paling hampir dengan masyarakat dan sering menjadi pihak pertama yang mengetahui sesuatu isu atau masalah yang berlaku dalam komuniti.
“Atas sebab itulah program dialog pada hari ini amat signifikan. Program ini bukan sekadar satu sesi penerangan biasa, tetapi merupakan satu platform untuk memberikan pendedahan dan kefahaman kepada para pemimpin masyarakat berkaitan pelaksanaan syariah dan penguatkuasaan undang-undang syariah di Negeri Terengganu.
“Saya difahamkan bahawa para peserta akan didedahkan dengan pelbagai perkara berkaitan bentuk-bentuk kesalahan jenayah syariah yang sering berlaku dalam masyarakat, peranan yang boleh dimainkan oleh pemimpin masyarakat, kaedah penyaluran maklumat kepada pihak berkuasa agama serta prosedur yang sewajarnya diambil apabila berhadapan dengan situasi yang melibatkan kesalahan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001,” ujarnya.
Tag :