lightning-solid
Berita :
'Belas Kasihan Terhadap Pelarian Jangan Kompromi Keselamatan Rakyat - MP Terengganu
'Belas Kasihan Terhadap Pelarian Jangan Kompromi Keselamatan Rakyat - MP Terengganu
Zuhdi Abdullah
20 jam yang lepas
383

KUALA LUMPUR, 13 Julai – Kerajaan digesa mengimbangi tuntutan kemanusiaan dengan penguatkuasaan undang-undang secara tegas dalam menguruskan komuniti pelarian Rohingya di negara ini.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Alias Razak berkata, pendekatan berteraskan konsep 'compassion with accountability' atau belas kasihan bersama akauntabiliti perlu dijadikan asas dalam menangani isu berkenaan.

Katanya, hak asasi manusia perlu dihormati, namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk membenarkan sebarang pelanggaran undang-undang, terutama yang boleh menjejaskan keselamatan awam.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan perkara tersebut di Dewan Rakyat.

Dr. Alias turut menyatakan sokongan terhadap pendirian Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) yang menolak budaya kebencian dan penghinaan terhadap etnik Rohingya.

“Kita menghormati pendirian SUHAKAM kerana Islam sendiri mengajar kita supaya berlaku adil dan berperikemanusiaan kepada sesiapa sahaja.

“Namun, dalam masa yang sama, kita juga tidak boleh menutup mata terhadap kebimbangan sebenar rakyat,” katanya.

Menurut Dr. Alias, antara perkara yang perlu diberikan perhatian ialah pelanggaran undang-undang jalan raya yang dilakukan oleh sebahagian warga Rohingya.

Beliau merujuk operasi khas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Terengganu baru-baru ini yang mengesan warga Rohingya melakukan beberapa kesalahan, termasuk memandu tanpa lesen, cukai jalan dan perlindungan insurans.

Katanya, kesalahan itu bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

Sehubungan itu, beliau mahu operasi penguatkuasaan diteruskan secara tegas dan konsisten tanpa sebarang kompromi.

“Kita menolak sebarang bentuk kebencian berasaskan kaum atau etnik.

“Tetapi kita juga menolak sebarang pelanggaran undang-undang, tidak kira sama ada dilakukan oleh warganegara ataupun bukan warganegara,” katanya.

Dr. Alias menegaskan bahawa keselamatan rakyat tempatan perlu kekal menjadi keutamaan dalam apa juga dasar berkaitan pelarian.

“Hak asasi manusia tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan keselamatan rakyat sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menggesa kerajaan memperkukuhkan dasar pengurusan pelarian di Malaysia supaya isu berkenaan dapat ditangani secara lebih tersusun, telus dan berkesan.

Beliau juga mahu kerjasama strategik dengan agensi antarabangsa dipertingkatkan bagi mencari penyelesaian jangka panjang terhadap isu pelarian Rohingya.


Tag :

Artikel Berkaitan