Oleh : Mariah Abdullah
KUALA TERENGGANU, 3 Jun - Terengganu melakar sejarah baharu dalam sektor tenaga boleh diperbaharui apabila menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi pelaksanaan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) di Santong, Paka.
Kemudahan di Santong itu diiktiraf sebagai storan bateri terbesar di Asia Tenggara, yang berfungsi sebagai sistem sokongan bagi menyimpan tenaga yang dijana daripada projek solar terapung berkapasiti 600 megawatt (MW) di Tasik Kenyir.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, berkata pencapaian itu membuktikan Terengganu kini berada di landasan tepat untuk muncul sebagai hab tenaga hijau utama di Malaysia.

"Fasa pembinaan fizikal bagi projek solar terapung terbesar ini dijangka bermula dalam masa terdekat, sekitar bulan Jun atau Julai ini.
"Pelantikan syarikat Cypark dan Sunview juga telah dibuat bagi fasa pelaksanaan Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC)," katanya dalam media sosialnya, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Nurkhuzaini menegaskan, kerajaan negeri memberikan komitmen penuh bagi memastikan kelancaran kedua-dua projek mega yang saling berkaitan berkenaan.
"Usaha ini bukan sahaja bertujuan memelihara kelestarian alam sekitar dan memacu agenda ekonomi baharu negeri, malah menjadi pelaburan jangka panjang bagi menjamin masa depan tenaga hijau yang mampan buat Terengganu serta negara secara amnya," katanya.
Tag :