lightning-solid
Berita :
Bot Penambang Seberang Takir Bakal Beroperasi Waktu Malam
Bot Penambang Seberang Takir Bakal Beroperasi Waktu Malam
Mastura Jamal Din
13 jam yang lepas
288

KUALA TERENGGANU, 13 Julai – Kerajaan Terengganu akan terus memperkasakan perkhidmatan bot penambang Seberang Takir menerusi pelbagai inisiatif termasuk menaik taraf kemudahan jeti, memudah cara urusan pelesenan serta memperkenalkan operasi pada waktu malam bagi bot tertentu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Dato’ Razali Idris berkata, langkah itu diambil bagi memastikan perkhidmatan berkenaan terus beroperasi secara selamat, berdaya saing dan mampan.

Menurutnya, bot penambang bukan sahaja berfungsi sebagai pengangkutan air tradisional, malah merupakan antara produk pelancongan ikonik Terengganu yang mempunyai nilai sejarah dan warisan tersendiri.

“Kerajaan negeri sentiasa prihatin terhadap cabaran yang dihadapi pengusaha bot penambang, khususnya berkaitan pematuhan syarat pelesenan, aspek keselamatan, kemudahan jeti serta perubahan corak penggunaan pengangkutan dalam kalangan masyarakat.

“Bagi menangani isu itu, kerajaan negeri bekerjasama dengan Jabatan Laut Malaysia, Lembaga Sumber Air Terengganu (LAUT), Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) serta agensi berkaitan untuk melaksanakan beberapa inisiatif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Takir, Khazan Che Mat, pada Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Razali berkata, antara usaha yang sedang dilaksanakan ialah membantu pengusaha memenuhi syarat pelesenan dan piawaian keselamatan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Katanya, kerajaan negeri juga memberi perhatian terhadap usaha menaik taraf kemudahan jeti serta infrastruktur sokongan bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna.

Dalam masa sama, beliau berkata, penjenamaan semula bot penambang sebagai produk pelancongan warisan turut diperkasakan bagi menarik lebih ramai pelancong tempatan dan antarabangsa.

Menurutnya, usaha itu penting bagi memastikan perkhidmatan tradisional tersebut terus relevan, sekali gus mampu menjana pendapatan kepada pengusaha dan merancakkan aktiviti ekonomi setempat.

Dalam perkembangan sama, Razali berkata, LAUT pada prinsipnya telah bersetuju untuk memperkenalkan Kebenaran Izin Lalu bagi membolehkan bot tertentu beroperasi pada waktu malam.

Jelasnya, cadangan tersebut bertujuan merancakkan lagi sektor pelancongan serta aktiviti ekonomi di sekitar Kuala Terengganu dan Seberang Takir.

“Bagaimanapun, pelaksanaannya masih di peringkat perancangan dan hanya akan dilaksanakan selepas semua aspek keselamatan, navigasi serta pematuhan peraturan dipenuhi,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa MBKT telah menaik taraf jeti bot penambang di hadapan Pasar Payang yang kini menjadi jeti utama bagi operasi perkhidmatan berkenaan.

Razali berkata, kerajaan negeri yakin kerjasama erat antara agensi kerajaan dan pengusaha mampu mengembalikan kegemilangan perkhidmatan bot penambang sebagai warisan negeri.

“Kerajaan negeri yakin melalui kerjasama semua agensi dan pengusaha, perkhidmatan bot penambang dapat diperkasakan semula sebagai warisan negeri yang terus memenuhi keperluan penduduk serta menjadi tarikan pelancongan bernilai tinggi di Terengganu,” katanya.


Tag :

Artikel Berkaitan