Berita :
Caj Tandas RM5 di Pulau Redang Milik Persendirian, Tandas Bawah Kerajaan Hanya RM1
Caj Tandas RM5 di Pulau Redang Milik Persendirian, Tandas Bawah Kerajaan Hanya RM1
Hafiz Rosli
4 jam yang lepas
135

KUALA TERENGGANU, 30 Mei - Kerajaan Terengganu menjelaskan caj RM5 bagi penggunaan tandas di Pulau Redang yang tular di media sosial bukan melibatkan tandas awam di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan.

Sebaliknya, caj berkenaan membabitkan tandas milik pihak persendirian.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, kerajaan negeri mengambil maklum pandangan serta rungutan orang ramai berhubung perkara itu.

Menurutnya, tandas awam yang diuruskan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di Pulau Redang hanya mengenakan caj RM1 bagi setiap penggunaan.

“Begitu juga tandas awam di Pulau Perhentian yang diuruskan pihak berkuasa tempatan mengenakan caj RM1, manakala tandas awam di Pulau Kapas disediakan secara percuma kepada pengunjung.

“Caj RM5 yang menjadi perhatian ramai adalah melibatkan tandas milik pihak persendirian dan bukan tandas awam di bawah seliaan kerajaan tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.



Razali berkata, kerajaan negeri memahami bahawa pengalaman dan keselesaan pelancong merupakan aspek penting dalam menjaga imej Terengganu sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.

Pada masa sama, beliau mengakui kos penyelenggaraan serta bekalan air bersih di kawasan pulau adalah tinggi, namun mengingatkan pengusaha swasta supaya menetapkan kadar yang munasabah.

“Kita faham kos penyelenggaraan dan bekalan air bersih di pulau adalah tinggi.

“Walau bagaimanapun, letakkanlah harga yang munasabah,” katanya.

Beliau berkata, industri pelancongan bukan sekadar bergantung kepada keuntungan segera, sebaliknya perlu melihat kepada pengalaman pengunjung dan kesan jangka panjang kepada ekonomi setempat.

“Pelancongan adalah tentang ‘perniagaan berulang’.

“Jika pelancong gembira, mereka akan datang lagi dan melabur lebih banyak dalam ekosistem ekonomi pulau.

“Jangan sampai kerana keuntungan jangka pendek, kita merosakkan periuk nasi jangka panjang,” katanya.

Razali berkata, kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan pelaburan dan penglibatan sektor swasta dalam pembangunan industri pelancongan.

Namun katanya, aspek kemudahan awam, keselesaan pengunjung dan nilai yang berpatutan perlu terus diberi perhatian agar pengalaman pelancong di Terengganu kekal pada tahap terbaik.

“Industri pelancongan adalah kerja berpasukan. Kerajaan, komuniti setempat dan pengusaha swasta harus bergerak seiring.

“Keindahan laut Pulau Redang sudah bertaraf dunia, jadi biarlah kemudahan asasnya juga seiring dengan reputasi tersebut,” katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan