KUALA NERUS, 31 Mac - Seramai 25 calon yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di Terengganu berjaya memperoleh keputusan cemerlang tertinggi iaitu semua A+ dalam mata pelajaran diambil.
Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Kamsah@Kamal Mohamed berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan 14 calon berbanding seramai 11 calon direkodkan pada 2024.

"Selain itu, seramai 4,270 calon atau 24.81 peratus memperoleh sekurang-kurangnya gred C dalam semua mata pelajaran, meningkat sebanyak 275 calon berbanding 3,995 calon (23.93 peratus) pada 2024," katanya pada sidang media sempena pengumuman keputusan peperiksaan SPM 2025 di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, di sini, hari ini.

Katanya, keputusan yang diperoleh tahun ini adalah gred purata terbaik dalam tempoh 10 tahun.
Dalam pada itu katanya, seramai 11,633 calon (67.60 peratus) memperoleh sekurang-kurangnya lulus atau memperoleh gred E dalam semua mata pelajaran.

"Kita merekodkan seramai 19,596 calon yang mendaftar untuk menduduki SPM pada 2025 dan daripada jumlah itu seramai 249 calon sekolah KPM tidak hadir peperiksaan.
"Jumlah calon tidak hadir itu menunjukkan penurunan berbanding 279 calon pada 2024," katanya.