lightning-solid
Berita :
Cecair Disyaki Merkuri Ditemui di Kampung Merbau Patah
Cecair Disyaki Merkuri Ditemui di Kampung Merbau Patah
Ahmad Zaeem Zainudin
1 hari yang lepas
1956

KUALA TERENGGANU, 6 Julai - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Terengganu semalam menggerakkan Pasukan Bahan Berbahaya (Hazmat) susulan penemuan cecair berwarna perak yang disyaki merkuri keluar dari permukaan tanah di Kampung Merbau Patah.

Menurut perkongsian rasmi di akaun TikTok Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kerteh semalam, operasi itu melibatkan anggota BBP Kuala Terengganu bersama Pasukan Hazmat BBP Kerteh bagi melakukan penilaian awal di lokasi kejadian.

Menurut kenyataan BBP Kerteh dalam perkongsian itu, pasukan operasi mengambil langkah keselamatan segera bagi dengan mengasingkan kawasan untuk mengelakkan orang awam menghampiri lokasi.

"Setibanya di lokasi, pasukan operasi segera melaksanakan penilaian awal, mengasingkan kawasan serta memasang sawar keselamatan bagi mengelakkan orang awam menghampiri lokasi.

"Pasukan Hazmat turut menjalankan pemeriksaan terperinci bagi menilai tahap pencemaran dan risiko penyebaran bahan berbahaya," kata kenyataan tersebut.

Jelas kenyataan itu lagi, Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut hadir ke lokasi bagi menjalankan penilaian bersama sebelum operasi ditangguhkan sementara bagi menunggu ketibaan peralatan khas daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

"Operasi akan disambung semula bagi membolehkan kerja-kerja pengenalpastian dan pengurusan bahan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP).

"Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian tersebut," jelas perkongsian beserta video operasi berdurasi selama 25 saat itu.

Setakat ini, identiti sebenar cecair berwarna perak itu masih belum disahkan dan siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.


Artikel Berkaitan