Jalur Gemilang
Berita :
Chan Chee How  Temui NGO Tionghua, India Dalam Tempoh Sebulan
Chan Chee How Temui NGO Tionghua, India Dalam Tempoh Sebulan
Rohayati Ripin
24 Nov 26
347

KUALA TERENGGANU, 24 November - ADUN lantikan Terengganu, Chan Chee How  mengadakan pertemuan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan masyarakat Tionghua dan India dalam tempoh sebulan bagi mengenal pasti isu serta keperluan komuniti berkenaan.

Beliau berkata, pertemuan itu menjadi keutamaan dalam perancangan awal selepas mengangkat sumpah sebagai ADUN lantikan bagi mendapatkan maklum balas secara langsung daripada masyarakat bukan Islam di negeri ini.

Katanya, pendekatan berkenaan penting bagi membolehkan beliau memahami permasalahan yang dihadapi sebelum membawa perkara berkenaan kepada perhatian kerajaan negeri.

“Dalam masa satu bulan selepas angkat sumpah, saya berharap dapat berjumpa semua NGO Tionghua ataupun India untuk melihat apa suara yang mereka ada.

“Kita cuba bawa dan selesaikan masalah mereka. Itulah peranan saya sebagai jambatan suara antara kaum bukan Islam dengan kerajaan,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Menurut beliau, usaha berkenaan akan diteruskan dengan mendekati agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan serta mengadakan perbincangan bersama barisan Exco negeri bagi mengenal pasti perkara yang boleh dibantu.

 Chan Chee How menambah, kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan suara masyarakat pelbagai kaum dapat disampaikan dengan baik.

“Saya tidak berjanji dapat menyelesaikan semua masalah mereka, tetapi saya berharap dapat membantu setakat kemampuan saya,” katanya.

Chan, 51, dilahirkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 27 Jun 1975 dan kini menetap di Chukai, Kemaman mendapat pendidikan awal di SRJK Nam Keong, Kuala Lumpur sebelum melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Akar, Kuantan, Pahang.

Beliau kemudiannya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Pengurusan Perniagaan dari University of Bradford, United Kingdom pada 1998.

Dalam bidang kerjaya, merupakan Pengarah GNE Trading & Supplies yang menjalankan perniagaan pembekalan sayur-sayuran, daging, buah-buahan dan bahan mentah untuk projek syarikat China di beberapa negeri termasuk Pahang, Terengganu, Kelantan dan Johor.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengurus Perhubungan Awam projek ECRL Seksyen 10 dari 2022 hingga 2025, selain mempunyai pengalaman dalam bidang pengurusan jualan dan perniagaan pembekalan produk keluli serta perkakasan.

Penglibatan beliau dalam politik menerusi Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM) pula telah menjangkau lebih 20 tahun dengan pengalaman memegang beberapa jawatan kepimpinan.

Antaranya termasuk Ketua Pemuda Gerakan Pahang, Naib Ketua Pemuda Nasional, Bendahari Gerakan Perhubungan Pahang dan Ketua Bahagian Gerakan Indera Mahkota.

Beliau kini turut menganggotai Jawatankuasa Gerakan Perhubungan Terengganu serta Jawatankuasa Biro Perhubungan dengan China peringkat nasional.

Selain politik, Chan aktif dalam pertubuhan kemasyarakatan dan perdagangan termasuk sebagai Timbalan Presiden Malaysia QinZhou Chamber of Commerce, Naib Presiden Kuantan Hakka Association serta Timbalan Setiausaha Gabungan Persatuan-Persatuan Hakka Pahang.

Pengalaman luas dalam bidang perniagaan, perhubungan awam, politik dan kemasyarakatan itu menjadi antara asas beliau untuk memainkan peranan sebagai penghubung antara masyarakat pelbagai kaum dengan kerajaan negeri.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan