Berita :
Dari Terengganu Ke Harvard, Namira Lee Jadi Kebanggaan Negeri
Dari Terengganu Ke Harvard, Namira Lee Jadi Kebanggaan Negeri
Hidayah Azlin
1 jam yang lepas
2

KUALA TERENGGANU, 17 Jun – Kerajaan Negeri Terengganu menaruh harapan tinggi agar anak-anak watan yang sedang menuntut di universiti terkemuka dunia menamatkan pengajian dengan cemerlang, seterusnya kembali menyumbang bakti demi kemajuan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, setiap kejayaan anak muda Terengganu di menara gading antarabangsa merupakan satu kebanggaan yang amat besar buat seluruh rakyat negeri itu.

Harapan tersebut dizahirkan beliau susulan menerima kunjungan hormat susulan daripada seorang pelajar cemerlang kelahiran negeri itu, Namira Lee, yang kini sedang melanjutkan pengajian di institusi tersohor dunia, Universiti Harvard, Amerika Syarikat.

“Belajar bersungguh-sungguh. Balik nanti berbakti kepada negeri kita," kata Dr. Azman memberikan kata-kata semangat kepada mahasiswa berkenaan. 

Pertemuan di Wisma Darul Iman, petang semalam menyaksikan Dr. Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, bertukar-tukar pandangan serta bertanyakan perkembangan pengajian terkini yang sedang diikuti oleh Namira di universiti berkenaan.

Untuk rekod, Namira mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi anak jati Terengganu pertama yang berjaya menerima tawaran melanjutkan pengajian ke Universiti Harvard.

Sebelum bertolak ke Amerika Syarikat pada pertengahan Ogos tahun lalu, kepimpinan negeri melalui Dr. Azman juga telah menyatakan komitmen penuh dalam membantu Namira menjayakan program komuniti yang diwajibkan buatnya, melibatkan pemuliharaan hutan paya bakau bersama komuniti perikanan setempat.

Mengulas mengenai kecemerlangan itu, Dr. Azman menegaskan bahawa ke mana sahaja anak-anak Terengganu membawa diri, perkara paling utama yang perlu dijaga adalah keperibadian diri.

“Ke mana pun kita pergi akhirnya manusia akan menghormati kita kerana ketinggian akhlak dan budi. Selamat belajar dan balik untuk berbakti kepada Negeri Terengganu," ulas beliau lagi.

Kehadiran Namira sebagai salah seorang penuntut di universiti terbaik dunia itu membuktikan bahawa modal insan dari Terengganu mampu bersaing di peringkat global sekiranya diberikan ruang, sokongan, dan bimbingan yang betul daripada semua pihak.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan