lightning-solid
Berita :
Darul Barakah Bantu Hampir 400 Individu Pulih Daripada Dadah
Darul Barakah Bantu Hampir 400 Individu Pulih Daripada Dadah
Rohayati Ripin
2 jam yang lepas
67

KUALA TERENGGANU, 21 Julai – Seramai 393 individu telah mengikuti program rawatan dan pemulihan di Perkampungan Darul Barakah sejak pusat milik kerajaan Terengganu itu ditubuhkan pada Mei 2021.

Pegawai Pemulihan Darul Barakah, Khairol Anuar Ramlan berkata, lebih 40 daripada mereka kini bergelar alumni yang kekal pulih serta mampu menjalani kehidupan secara berdikari.

Menurutnya, antara 25 hingga 30 alumni masih aktif menyertai program susulan anjuran Darul Barakah bagi membantu mereka terus bebas daripada penyalahgunaan dadah.

“Setiap pelatih mengikuti program pemulihan selama dua tahun. Alhamdulillah, kita melihat ramai yang berjaya mengubah kehidupan mereka.

“Malah, ada alumni yang kini memiliki syarikat sendiri dan mengambil bekas pelatih lain sebagai pekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Ramah Mesra PEMADAM Terengganu bersama agensi dan jabatan berkaitan di Kuala Terengganu, semalam.

Khairol berkata, program pemulihan di Darul Barakah menggabungkan pendekatan konvensional dengan modul psikospiritual berasaskan nilai agama.

Pelatih turut diberikan latihan kemahiran dalam bidang pertanian dan penternakan, selain dilibatkan dalam aktiviti kemasyarakatan sebagai persediaan untuk kembali menjalani kehidupan secara berdikari.

 

Menurutnya, pihak Darul Barakah juga terus berhubung dengan alumni melalui program susulan bagi memantau perkembangan mereka dan memastikan proses pemulihan dapat diteruskan.

Dalam perkembangan sama, Khairol berkata kira-kira 85 peratus pelatih yang mendapatkan rawatan di pusat tersebut terjebak dengan penyalahgunaan dadah akibat pengaruh rakan.

Justeru, beliau menasihatkan golongan muda supaya tidak sesekali mencuba dadah dan lebih berhati-hati dalam memilih rakan.

“Bagi mereka yang sudah terlibat dengan penagihan, jangan malu untuk mendapatkan rawatan.

“Ketagihan dadah merupakan satu penyakit yang memerlukan bantuan dan rawatan sewajarnya. Darul Barakah sentiasa bersedia membantu mereka kembali menjalani kehidupan yang lebih baik,” katanya.



Tag :

Artikel Berkaitan