Jalur Gemilang
Berita :
Deepavali: KPDN Beri Amaran, Peniaga Cekik Darah Boleh Didenda RM500,000
Deepavali: KPDN Beri Amaran, Peniaga Cekik Darah Boleh Didenda RM500,000
Mastura Jamal Din
5 jam yang lepas
146

KUALA TERENGGANU, 4 November – Peniaga yang menjual barangan terkawal melebihi harga maksimum ditetapkan sempena Deepavali tahun ini berdepan denda sehingga RM500,000 sekiranya didapati melanggar peraturan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Mohd Mufsi Lat berkata, tindakan itu boleh diambil terhadap syarikat atau perbadanan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Menurutnya, bagi kesalahan sama, individu pula boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Individu juga boleh dikompaun sehingga RM50,000, manakala syarikat atau perbadanan boleh dikompaun sehingga RM250,000," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2026 di Pacific Grocer, KTCC Mall, hari ini.

Mohd Mufsi berkata, skim berkenaan dilaksanakan selama tujuh hari bermula hari ini hingga 10 November bagi memastikan pengguna, khususnya masyarakat Hindu, memperoleh barangan keperluan pada harga berpatutan sepanjang musim perayaan.

Katanya, sebanyak 11 jenis barangan keperluan diwartakan sebagai barangan harga terkawal, termasuk dua barangan baharu iaitu santan dan ubi kentang dari China.

"Barangan terlibat ialah bawang merah besar, bawang merah kecil India, bawang merah kecil India (Ros), cili merah, daging kambing biri-biri bertulang import, kacang dal Australia, kelapa biji, kelapa parut, santan, tomato dan ubi kentang dari China.

"Harga maksimum yang ditetapkan adalah berdasarkan zon dan kawasan yang telah ditentukan oleh kerajaan," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Mufsi berkata, pihaknya akan mempergiat pemeriksaan dan pemantauan di pasar awam, pasar tani serta pasar raya di seluruh Terengganu sepanjang tempoh pelaksanaan skim berkenaan.

Katanya, langkah itu bagi memastikan peniaga mematuhi harga maksimum yang ditetapkan dan tidak mengambil kesempatan terhadap pengguna sempena musim perayaan.

Sehubungan itu, semua peniaga diwajibkan meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan terkawal, memastikan bekalan mencukupi serta menggunakan alat timbang dan sukat yang telah ditentusahkan.

Beliau turut mengingatkan peniaga bahawa kegagalan mematuhi peraturan boleh menyebabkan tindakan undang-undang diambil.

Bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu, individu boleh didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000.

Syarikat atau perbadanan pula boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 atau kompaun sehingga RM10,000 bagi kesalahan sama.

Sementara itu, kegagalan mempamerkan tanda harga atau senarai harga boleh menyebabkan individu didenda sehingga RM50,000 atau dikompaun sehingga RM25,000.

Bagi syarikat atau perbadanan, kesalahan tersebut membawa denda sehingga RM100,000 atau kompaun sehingga RM50,000.

Mohd Mufsi turut menggesa pengguna supaya peka terhadap harga maksimum yang ditetapkan kerajaan dan segera menyalurkan aduan kepada KPDN sekiranya mendapati terdapat peniaga melanggar peraturan sepanjang pelaksanaan SHMMP Deepavali 2026.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan