Jalur Gemilang
Berita :
Pembangunan Ekopelancongan Terengganu Perlu Seiring Kemudahan Perhubungan
Pembangunan Ekopelancongan Terengganu Perlu Seiring Kemudahan Perhubungan
Zuhdi Abdullah
1 jam yang lepas
41

KUALA LUMPUR, 4 November - Pembangunan sektor ekopelancongan di Terengganu perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan memberi penekanan terhadap kemudahan infrastruktur dan jaringan perhubungan bagi memastikan destinasi pelancongan mampu berkembang serta memberi manfaat kepada rakyat.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr. Alias Razak berkata, beliau menyambut baik perhatian Belanjawan 2027 terhadap potensi ekopelancongan negeri itu, termasuk Tasik Kenyir, Setiu Wetlands, Pulau Tenggol dan Pulau Bidong.

Bagaimanapun katanya, usaha mempromosikan destinasi pelancongan perlu disusuli dengan penyediaan infrastruktur perhubungan yang baik, selamat dan selesa.

Menurut beliau, akses dari Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) melalui Kuala Jeneris ke Pengkalan Gawi perlu diperkukuh sebagai pintu masuk utama ke Tasik Kenyir.

Selain itu, Jalan Kenyir–Aring juga perlu diberikan perhatian kerana laluan berkenaan bukan sahaja penting kepada hubungan antara Terengganu dan Kelantan, malah menyokong aktiviti pelancongan serta ekonomi penduduk setempat.

“Saya memohon supaya kerja-kerja pemulihan laluan ini disegerakan melalui penyelesaian yang selamat dan berkekalan demi kepentingan pengguna jalan raya serta penduduk setempat,” katanya.

Beliau turut membangkitkan keperluan meningkatkan kemudahan akses ke kawasan Setiu Wetlands, khususnya laluan menuju Pengkalan Gelap, selain jaringan jalan raya ke jeti Kuala Besut bagi kemudahan pelancong ke Pulau Perhentian serta akses ke Pulau Redang.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan menjelaskan perancangan bersepadu antara kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan setiap pelaburan dalam sektor pelancongan disokong kemudahan pengangkutan dan infrastruktur yang mencukupi.

“Kita tidak mahu destinasi pelancongan dipromosikan secara meluas, namun pengunjung dan penduduk tempatan masih berhadapan kekangan akses untuk sampai ke destinasi berkenaan.

“Pembangunan ekopelancongan mesti bergerak seiring dengan pembangunan infrastruktur supaya potensi pelancongan Terengganu dapat diterjemahkan kepada pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan