KUALA TERENGGANU, 3 November – Seramai 3,744 individu mendaftar menerusi Portal Jodoh Darul Iman dan 290 padanan berjaya direkodkan sejak platform itu diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu pada tahun lepas.
Lebih menarik, usaha mempertemukan pasangan menerusi platform berkenaan turut membuahkan hasil apabila tujuh pasangan telah bertunang manakala lima pasangan lagi berjaya melangkah ke alam perkahwinan sehingga 29 Oktober lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional, Maliaman Kassim berkata, daripada keseluruhan jumlah pendaftar, seramai 2,286 individu telah melengkapkan pendaftaran serta melepasi proses penilaian pihak pentadbir (Admin).
Menurutnya, baki 1,458 individu masih dalam proses penilaian semula berikutan maklumat yang dikemukakan tidak lengkap atau tidak memenuhi syarat pendaftaran ditetapkan.
"Pencapaian ini menunjukkan bahawa portal berkenaan telah memberikan ruang dan peluang kepada pengguna untuk membina hubungan yang lebih serius ke arah pertunangan dan perkahwinan.
"Walau bagaimanapun, kejayaan mendapatkan pasangan yang serasi turut bergantung pada kejujuran maklumat, kesediaan calon, komunikasi serta persetujuan kedua-dua pihak," jelasnya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini.
Tambahnya, YPKT akan terus berusaha memperkukuh pelaksanaan portal ini bagi meningkatkan keberkesanan padanan dan membantu lebih ramai rakyat Terengganu membina keluarga yang bahagia dan sejahtera.
Portal Jodoh Darul Iman merupakan antara inisiatif Kerajaan Negeri Terengganu dalam membantu rakyat mendapatkan pasangan hidup menerusi platform pencarian jodoh yang teratur dan patuh syariah.