Jalur Gemilang
Berita :
‘Bangku Speaker Bukan Takhta Buat Sesuka Hati’ – Ahli Parlimen Besut
‘Bangku Speaker Bukan Takhta Buat Sesuka Hati’ – Ahli Parlimen Besut
Mohd Hafiz Azrin Abdul Razak
1 hari yang lepas
518

KUALA LUMPUR, 2 November – Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh mengingatkan bahawa kerusi Yang di-Pertua Dewan Rakyat bukanlah ‘takhta’ untuk membuat keputusan sesuka hati sehingga melanggar Peraturan Mesyuarat yang telah ditetapkan.

Ketika membahaskan butiran Pengurusan Dewan di bawah peruntukan Parlimen Malaysia pada peringkat Jawatankuasa hari ini, beliau menegaskan bahawa kelancaran dan keteraturan persidangan menuntut semua pihak mematuhi peraturan, termasuk Speaker dan Timbalan Speaker sendiri.

Menurut beliau, mana-mana pihak yang mempengerusikan mesyuarat Dewan Rakyat tidak boleh membatalkan (overrule) ketetapan yang telah dibuat oleh pengerusi terdahulu melainkan melalui usul tersendiri.

“Dalam Peraturan Mesyuarat 43, jelas menetapkan bahawa keputusan pengerusi adalah muktamad dan tidak boleh diminta untuk disemak semula atau diulang kaji kecuali dengan dikemukakan usul tersendiri.

“Saya beri contoh dalam kes Yang Berhormat Kota Bharu pada 19 Oktober lalu, di mana Timbalan Speaker yang mempengerusikan sidang telah pun menetapkan agar Ahli Parlimen Jelutong membuat usul, dan tidak mengarahkan Kota Bharu menarik balik perkataannya.

“Persoalannya, bagaimanakah Speaker pada 21 Oktober tiba-tiba boleh mengarahkan Kota Bharu menarik balik perkataan tersebut? Pada ketika itu Speaker berkata keputusannya adalah muktamad, tetapi bagaimana pula dengan keputusan Timbalan Speaker sebelum itu? Adakah ia tidak cukup muktamad mengikut Peraturan 43?” tegas beliau.

Tambah Che Mohamad Zulkifly lagi, tindakan menimbang semula perkara yang telah diputuskan tanpa sebarang usul pembatalan juga jelas bercanggah dengan Peraturan Mesyuarat 36(3) Dewan Rakyat.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan