KUALA TERENGGANU, 13 Oktober – Sepasang suami isteri sanggup menempuh perjalanan selama dua hari dengan ambulans dari Arau, Perlis ke Kemaman, Terengganu demi memenuhi hasrat anak mereka yang menghidap kanser otak tahap empat untuk menghadiri majlis konvokesyen.
Bagi Muhammad Afiq Mohd Hairul Fahmy, 23, kehadirannya pada Majlis Konvokesyen University College TATI (UC TATI) Kali Ke-26 memberi peluang untuk meraikan pencapaian akademiknya selepas berdepan ujian kesihatan yang berat.
Bapanya, Kepten Ts Mohd Hairul Fahmy Yob, yang juga pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), berkata, beliau dan isterinya, Syamazlin Sharif berusaha memenuhi keinginan itu meskipun sedar perjalanan berkenaan bukan mudah.
Menurutnya, Afiq memerlukan bantuan oksigen, pengangkutan bersesuaian serta pemantauan sepanjang perjalanan.
“Sememangnya untuk hadir ke majlis konvokesyen ini adalah kemahuannya sendiri yang kami tidak mampu untuk menolaknya walaupun kami menyedari ia satu perjalanan jauh.
“Demi Afiq, kami sanggup mengusahakan segala-galanya malah pernah terfikir untuk mendapatkan penerbangan ihsan bagi membolehkannya hadir ke majlis konvokesyen ini.
“Namun, atas nasihat doktor, keadaan kesihatannya tidak mengizinkan untuk sebarang penerbangan,” katanya.

Pada majlis itu, Afiq menerima Anugerah Khas Aegrotat bagi pengajian Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dengan Pengurusan Perniagaan (Kepujian).
Anugerah berkenaan disampaikan oleh Naib Canselor UC TATI, Dato’ Ir. Kamaluddin Abd Rashid bersama Rektor, Prof. Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid.
Afiq disahkan menghidap tumor otak pada 31 Ogos 2025 ketika berada pada tahun akhir pengajiannya, dengan hanya latihan industri berbaki untuk melengkapkan pengajian.
Bagaimanapun, keadaan kesihatannya menyebabkan pengajian tertangguh sebelum Senat universiti bersetuju menganugerahkan ijazah secara Aegrotat sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian akademiknya.

Sokongan itu membolehkan Afiq turut berkongsi kegembiraan pada hari bersejarah berkenaan bersama sahabat yang menempuh pengajian dengannya.
Di sebalik ujian kesihatan yang dihadapi, impian Afiq untuk menggenggam ijazah akhirnya tercapai, disaksikan ibu bapa, keluarga dan rakan-rakan yang terus memberikan sokongan.