KUALA NERUS, 29 Mac - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengajak seluruh rakyat agar menghadiri Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 yang akan berlangsung dari 2 hingga 4 April di Kompleks Sukan Negeri Terengganu.
Beliau berkata, penganjuran program berskala besar itu menjadi medan penting bagi meghimpunkan umat Islam dalam memperkukuh ukhuwah serta membina gelombang perpaduan yang lebih menyeluruh di peringkat tempatan dan antarabangsa.
"Insya-Allah, Kompleks Sukan Negeri Terengganu akan menjadi saksi kepada himpunan besar umat yang menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk tokoh ilmuwan, pemimpin dan anak muda dari dalam serta luar negara,"ujarnya dalam satu kenyataan di facebook, di sini, semalam.
Menurut beliau, pelbagai pengisian telah dirangka sepanjang tiga hari penganjuran merangkumi wacana ilmu, malah membuka ruang interaksi sihat dalam membina kefahaman dan kesepaduan dalam kalangan umat Islam.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai agar hadir bersama keluaraga dan sahabat bagi memeriahkan program tersebut serta menghidupkan suasana penuh makna dan keberkatan.
"Kehadiran semua amat penting bagi menjayakan himpunan ini, sekali gus menjadikan kita sebahagian daripada gelombang perpaduan ummah yang lebih besar,"ujarnya.

Dalam pada itu, antara acara tumpuan ialah Malam Melayu Berselawat yang dijadual berlangsung pada malam 2 April, menghimpunkan tokoh ulama serta masyarakat dalam majlis penuh keharmonian melalui Selawat, Tausiyah dan Persembahan Qasidah.
Selain itu, pelbagai acara turut disusun termasuk Kuliah Subuh dan Dhuha, konvoi motorsikal anak muda, wacana sejarah dan ketamadunan Islam serta himpunan Alam Melayu yang menampilkan pidato dan persembahan kebudayaan..
Kemuncak program dijangka berlangsung pada malam 4 April menerusi pidato perdana yang memfokuskan kepada agenda penyatuan ummah di Malaysia.
Dalam masa sama, penganjuran karnival, pameran dan gerai jualan sepanjang program berlangsung dari jam 8 pagi hingga 11 malam turut memberi peluang kepada usahawan tempatan menjana ekonomi serta memperkenalkan produk kepada pengunjung
Tag :