lightning-solid
Berita :
E-Boat Penambang Seberang Takir Bukan Ganti Bot Tradisional
E-Boat Penambang Seberang Takir Bukan Ganti Bot Tradisional
Mastura Jamal Din
18 jam yang lepas
166

KUALA TERENGGANU, 13 Julai – Projek pembangunan E-Boat Penambang di Seberang Takir bukan bertujuan menggantikan bot penambang tradisional, sebaliknya memodenkan perkhidmatan sedia ada menerusi penggunaan teknologi hijau.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Dato' Razali Idris berkata, Kerajaan Negeri sedang bekerjasama dengan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bagi meneliti potensi pembangunan bot penambang berasaskan teknologi elektrik dan tenaga solar itu.

Menurut beliau, kajian tersebut melibatkan aspek teknikal, keselamatan operasi, kos pelaksanaan, penyelenggaraan, kesesuaian penggunaan di muara Sungai Terengganu serta kesannya terhadap pengusaha bot penambang.

“Matlamat projek ini bukan untuk menggantikan bot penambang tradisional, tetapi memperkasakan perkhidmatan sedia ada melalui penggunaan teknologi hijau.

“Identiti dan warisan bot penambang akan terus dikekalkan sebagai ikon pelancongan negeri, manakala inovasi e-Boat dapat meningkatkan daya saing industri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat pada Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Razali berkata, kerjasama dengan UTeM dibuat berdasarkan kepakaran universiti itu dalam bidang teknologi bateri, mobiliti elektrik serta inovasi pengangkutan hijau.

Katanya, sekiranya hasil kajian menunjukkan keputusan positif, E-Boat Penambang berpotensi menjadi pemangkin kepada transformasi perkhidmatan bot penambang Seberang Takir sebagai sistem pengangkutan air yang lebih moden, selamat dan mampan.

“Selain mengurangkan pelepasan karbon dan kos operasi dalam jangka panjang, projek ini turut berpotensi memperluaskan produk pelancongan berasaskan sungai seperti Heritage River Cruise, pakej eBeca, eBoat serta aktiviti warisan dan kebudayaan,” katanya.

Menurut Razali, usaha menaik taraf perkhidmatan bot penambang turut melibatkan penambahbaikan aspek pelesenan, keselamatan operasi dan kemudahan jeti bagi memastikan warisan pengangkutan air itu terus relevan.

 


Tag :

Artikel Berkaitan