KEMAMAN, 21 Julai – Projek pembesaran Pelabuhan Kemaman dan kemasukan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijangka menjadi pemangkin utama kepada lonjakan prestasi Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC), yang menyasarkan peningkatan hasil sehingga RM700 juta menjelang 2030 berbanding RM411.9 juta yang direkodkan ketika ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Dr. Ts. Muhtar Suhaili berkata, sasaran itu didorong oleh limpahan ekonomi hasil pembangunan ECRL, selain pengembangan operasi pelabuhan dan pelbagai projek strategik yang sedang dilaksanakan di Kemaman.
Katanya, kerja penambakan tanah seluas 22 hektar bagi membolehkan jajaran ECRL memasuki Pelabuhan Kemaman dijangka siap pada September ini, sekali gus membolehkan operasi dimulakan mengikut perancangan pada 1 Januari 2027.
"Pada pandangan saya, ECRL adalah 'Game Changer' kepada EPIC kerana ia akan meningkatkan ketersambungan Pelabuhan Kemaman dengan Pelabuhan Klang, Pelabuhan Kuantan serta Lembah Klang.
"Selama ini operasi pelabuhan lebih tertumpu kepada kargo pukal, namun dengan ECRL kita akan mula mengendalikan kargo kontena, sekali gus membuka segmen perniagaan baharu kepada EPIC," katanya selepas majlis pelancaran National Training Week peringkat EPIC di sini.

Menurut beliau, syarikat turut meningkatkan kapasiti logistik apabila membina dua gudang baharu tahun depan dan sebuah lagi pada tahun berikutnya, menjadikan Kemaman Supply Base lebih bersedia menerima pertambahan aktiviti industri.
Tambahnya, projek-projek baharu itu bukan sahaja meningkatkan hasil syarikat, malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Terengganu, khususnya di Kemaman.
Sejak 2023, katanya, EPIC telah mengambil kira-kira 300 kakitangan baharu, manakala hampir 2,000 pekerja kini berkhidmat di bawah EPIC dan anak syarikatnya.
"Di Kemaman Supply Base pula terdapat 262 penyewa dan kira-kira 9,000 orang bekerja di kawasan ini setiap hari. Dengan kontrak serta projek baharu, kita berharap lebih ramai tenaga kerja dapat diserap," katanya.