Jalur Gemilang
Berita :
ECRL Mampu Jadi Pemangkin Industri, Perlu Dimanfaatkan PKS - Ahmad Samsuri
ECRL Mampu Jadi Pemangkin Industri, Perlu Dimanfaatkan PKS - Ahmad Samsuri
Mastura Jamal Din
1 jam yang lepas
37

KUALA LUMPUR, 26 Oktober – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berpotensi menjadi pemangkin pertumbuhan sektor perindustrian dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi penggunaan rangkaian rel bagi pengangkutan barangan, selain perkhidmatan penumpang.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, potensi itu perlu dimanfaatkan dengan membangunkan kawasan industri berhampiran stesen ECRL bagi memudahkan pengusaha tempatan mengakses rangkaian pengangkutan dan pasaran lebih luas.

Menurutnya, pengangkutan barangan merupakan antara komponen utama sistem rel di peringkat global, khususnya dalam menyokong keperluan sektor perindustrian.

“Secara anggaran, 70 peratus penggunaan rangkaian rel boleh ditumpukan kepada pengangkutan barangan, manakala 30 peratus lagi bagi pengangkutan penumpang.

“Sehubungan itu, pembangunan industri kecil di sepanjang laluan rel perlu diperkasakan, termasuk melalui penyediaan kawasan berhampiran stesen bagi membolehkan perusahaan menjalankan operasi serta mengakses kemudahan pengangkutan barangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena SG4 Business Economic Forum 2026 bertemakan Four States, One Economic Vision di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, penyediaan kawasan industri berhampiran stesen ECRL merupakan antara langkah penting bagi memastikan kemudahan rel berkenaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pengusaha tempatan.

Katanya, langkah itu juga berupaya meningkatkan kecekapan pengangkutan barangan, mengurangkan kekangan logistik serta membuka peluang kepada PKS untuk meluaskan pasaran.

Dalam perkembangan sama, beliau turut melihat potensi peluasan rangkaian rel ke selatan Thailand sebagai peluang untuk memperkukuh hubungan perdagangan dan kegiatan ekonomi rentas sempadan.

Menurutnya, jaringan pengangkutan yang lebih luas mampu membuka akses kepada pasaran baharu, sekali gus memberikan manfaat ekonomi kepada negeri-negeri yang terlibat, khususnya di kawasan sempadan.

“Dengan peluasan rangkaian ke Thailand, saya fikir perkara ini akan memberikan kedudukan yang lebih baik kepada negeri kita juga,” katanya.

Forum berkenaan menghimpunkan pemimpin kerajaan, wakil diplomatik, pelabur institusi, pemimpin korporat, pakar ekonomi, institusi kewangan serta pemain industri bagi membincangkan potensi kerjasama dan pembangunan ekonomi empat negeri SG4.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan