Jalur Gemilang
Berita :
Kerajaan Negeri Perlu Lebih Kuasa Tentukan Projek Infrastruktur – Dr Sam
Kerajaan Negeri Perlu Lebih Kuasa Tentukan Projek Infrastruktur – Dr Sam
Mastura Jamal Din
2 jam yang lepas
175

KUALA LUMPUR, 26 Oktober - Kerajaan negeri perlu diberikan lebih banyak kuasa dan kebebasan untuk menentukan keutamaan projek infrastruktur di kawasan masing-masing, tanpa terlalu bergantung kepada keputusan Kerajaan Persekutuan.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pendekatan sedia ada yang menyaksikan kebanyakan projek infrastruktur berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan perlu ditambah baik menerusi kerjasama lebih erat antara kedua-dua pihak.

Menurutnya, ketidakselarasan keutamaan antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan sering menjadi cabaran dalam memastikan projek pembangunan yang benar-benar diperlukan rakyat dapat dilaksanakan.

“Kadangkala, perkara yang menjadi keutamaan kita bukanlah keutamaan mereka. Sebab itu, kita memerlukan perbincangan yang baik antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan untuk mengenal pasti projek infrastruktur yang perlu diberi keutamaan.

“Kerajaan Persekutuan juga perlu memahami mengapa sesuatu projek itu menjadi keutamaan kepada sesebuah negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian di sidang media SG4 Business Economic Forum 2026 bertemakan Four States. One Economic Vision  di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) yang menghimpunkan pemimpin kerajaan, wakil diplomatik, pelabur institusi, pemimpin korporat, pakar ekonomi, institusi kewangan serta pemain industri dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Tambah Ahmad Samsuri lagi, kerajaan negeri sewajarnya diberikan ruang lebih besar untuk mengemukakan projek yang diperlukan bagi dipertimbangkan dalam Rancangan Malaysia dan rancangan pembangunan berkaitan.

Katanya, mekanisme sedia ada perlu memastikan cadangan pembangunan daripada kerajaan negeri mendapat pertimbangan sewajarnya, khususnya projek yang mempunyai kepentingan besar kepada rakyat dan pembangunan setempat.

Beliau menegaskan, hubungan antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan perlu berasaskan persefahaman dan kerjasama, bukannya keputusan sehala yang berpotensi mengetepikan keperluan sebenar negeri.

Sehubungan itu, beliau berkata, perubahan terhadap pendekatan berkenaan antara perkara yang mahu dilaksanakan sekiranya pihaknya diberikan mandat membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

“Kita mahu kerajaan negeri mempunyai lebih banyak kebebasan untuk menentukan keutamaan dan membuat keputusan sendiri berbanding keadaan sekarang.

“Namun, perkara ini masih belum berlaku pada masa sekarang. Saya fikir inilah antara perkara utama yang akan kita ubah apabila kita mengambil alih tampuk pemerintahan selepas pilihan raya yang ke-16 (PRU16),” katanya.

 

 


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan