Jalur Gemilang
Berita :
Empat Anak Syarikat EPIC Raih Pengiktirafan MSOSH
Empat Anak Syarikat EPIC Raih Pengiktirafan MSOSH
Mastura Jamal Din
1 jam yang lepas
129

KUALA TERENGGANU, 22 Oktober – Komitmen Kumpulan EPIC Berhad dalam memperkukuh budaya keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) membuahkan hasil apabila empat anak syarikatnya menerima pengiktirafan pada Majlis Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan MSOSH Ke-44, sekali gus memperkukuh reputasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Terengganu dalam sektor industri.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Muhtar Suhaili berkata, pencapaian itu merupakan hasil komitmen seluruh warga kerja dalam memastikan pematuhan terhadap amalan keselamatan yang ditetapkan sentiasa menjadi sebahagian daripada operasi harian.

“Empat pengiktirafan MSOSH yang diterima bukan sekadar pencapaian di atas kertas, malah mencerminkan komitmen bersama seluruh warga kerja dalam memastikan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan sentiasa menjadi keutamaan.

“Kami percaya budaya kerja selamat perlu diterapkan secara konsisten melalui pematuhan prosedur, pengurusan risiko yang berkesan serta penglibatan aktif setiap warga kerja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam majlis yang berlangsung di Petaling Jaya, Selangor, EPIC OG Sdn Bhd (EOGSB) meraih pengiktirafan MSOSH Gold Merit buat julung kalinya selepas memperoleh MSOSH Gold (Class I) pada tahun lalu.

Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (PBKSB) dan Konsortium Pelabuhan Kemaman Sdn Bhd (KPKSB) pula masing-masing menerima pengiktirafan MSOSH Gold Class I, manakala Sukma Samudra Sdn Bhd (SSSB) mencatat pencapaian tersendiri apabila pertama kali menerima pengiktirafan MSOSH menerusi anugerah MSOSH Silver.
Kejayaan empat anak syarikat itu memperlihatkan pencapaian berbeza dalam pelaksanaan amalan keselamatan pekerjaan, selain mencerminkan usaha Kumpulan EPIC memperkukuh standard operasi di seluruh rantaian perniagaannya.

Tambah beliau, pengiktirafan berkenaan mencerminkan usaha berterusan Kumpulan EPIC, di bawah Kumpulan Terengganu Inc, dalam memastikan aspek keselamatan, pengurusan risiko dan kesejahteraan pekerja menjadi keutamaan dalam operasi, khususnya sektor minyak dan gas serta perkhidmatan pelabuhan.
Menurutnya lagi, matlamat kumpulan itu bukan hanya untuk memperoleh pengiktirafan industri, sebaliknya memastikan setiap individu yang terlibat dalam operasi dapat bekerja dalam persekitaran yang selamat dan sejahtera.

Beliau berkata, amalan keselamatan perlu dijadikan sebahagian daripada budaya kerja dan diterjemahkan melalui tindakan serta penambahbaikan berterusan.

Dalam pada itu, pencapaian berkenaan turut memberi nilai tambah kepada Terengganu memandangkan syarikat di bawah kumpulan milik negeri berperanan dalam sektor strategik, termasuk perkhidmatan sokongan minyak dan gas serta pengendalian pelabuhan.

Pelaksanaan standard keselamatan pekerjaan yang baik penting bagi menyokong kelancaran operasi, melindungi tenaga kerja dan mengurus risiko di tempat kerja, selain meningkatkan keyakinan pelanggan serta rakan perniagaan terhadap keupayaan syarikat.

Usaha itu juga selari dengan keperluan industri yang semakin menitikberatkan pematuhan keselamatan, kecekapan operasi dan amalan perniagaan mampan sebagai antara aspek penting dalam mengekalkan daya saing.

Mengorak langkah ke hadapan, Kumpulan EPIC akan terus memperkukuh kemahiran serta kesedaran warga kerja mengenai KKP, selain meningkatkan penglibatan kontraktor, rakan perniagaan dan pihak berkepentingan dalam memperluas amalan kerja selamat di seluruh rantaian operasinya.

Anugerah MSOSH yang diperkenalkan pada 1982 itu merupakan antara platform pengiktirafan industri bagi organisasi yang menunjukkan pencapaian dalam pelaksanaan sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan