KUALA NERUS, 22 Oktober - Skuad bola sepak Pegawai Tadbir Negeri (PTN) Terengganu menerima tamparan hebat di halaman sendiri selepas kempunan meraih sebarang pingat dalam acara bola sepak Sukan Empat Negeri 2026, petang tadi.
Dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu akur tewas 0-1 kepada Kelantan.

Terengganu berpeluang bangkit, namun tuah tidak menyebelahi mereka apabila gagal menyempurnakan dua sepakan penalti pada minit ke-47 dan ke-52.

Meskipun terlepas pingat dalam dua acara berturut-turut (bola tampar dan bola sepak), Terengganu masih kukuh di puncak saingan dengan pengumpulan 58 mata.

Sekiranya Kedah berpeluang merembat emas dalam aksi akhir bola sepak malam ini, kedudukan Terengganu sebagai juara keseluruhan akan kembali tergugat.