lightning-solid
Berita :
EPIC Sasar 5,000 Penyertaan NTW, Perkasa Bakat Tenaga Kerja Hadapi Era AI
EPIC Sasar 5,000 Penyertaan NTW, Perkasa Bakat Tenaga Kerja Hadapi Era AI
Mastura Jamal Din
15 jam yang lepas
129

KEMAMAN, 21 Julai – Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) menyasarkan penyertaan seramai 5,000 peserta dalam program National Training Week (NTW) 2026 sebagai usaha memperkasa bakat dan meningkatkan kecekapan tenaga kerja bagi menghadapi cabaran dunia pekerjaan yang semakin dipacu teknologi serta kecerdasan buatan (AI).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Dr. Ts. Muhtar Suhaili berkata, sasaran itu melibatkan kira-kira 1,700 kakitangan EPIC selain penyertaan daripada agensi kerajaan, pemain industri dan orang awam sepanjang minggu latihan berkenaan.

Menurut beliau, program yang memasuki tahun kedua penganjurannya itu dilaksanakan menerusi kerjasama strategik dengan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan rakan pelaksana di peringkat negeri.

"Di peringkat EPIC, program ini dikenali sebagai EPIC Ignite: Empowering Skills, Inspiring Excellence yang memberi penekanan kepada pembelajaran sepanjang hayat, latihan semula (reskilling), peningkatan kemahiran (upskilling) dan penguasaan kemahiran baharu.

"Sebanyak 25 modul latihan telah disediakan khusus sempena National Training Week dengan fokus kepada pembangunan bakat dan penguasaan teknologi baharu termasuk AI supaya tenaga kerja kekal relevan serta berdaya saing," katanya selepas majlis pelancaran National Training Week peringkat EPIC di sini.

Beliau berkata, latihan berkenaan bukan sekadar program tahunan, sebaliknya menjadi sebahagian daripada budaya kerja syarikat menerusi pelaksanaan latihan secara berterusan sepanjang tahun. 

Katanya, EPIC memiliki pusat latihan sendiri iaitu EPIC Excellence Learning Centre (EELC) yang dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk auditorium dan bilik latihan bagi menyokong agenda pembangunan modal insan syarikat.

"Setiap kakitangan diwajibkan mengikuti latihan setiap tahun iaitu sekurang-kurangnya 16 jam bagi kumpulan eksekutif dan lapan jam bagi kumpulan bukan eksekutif.

"Ini adalah komitmen EPIC untuk memastikan warga kerja sentiasa meningkatkan ilmu, kemahiran dan bersedia menghadapi perubahan landskap industri," katanya.

Beliau menambah, EPIC akan terus memperkukuh kerjasama dengan KESUMA serta agensi kerajaan di peringkat negeri dan Persekutuan bagi memperluaskan akses latihan kepada lebih ramai peserta, sekali gus menyokong agenda pembangunan modal insan negara.


Tag :

Artikel Berkaitan