Jalur Gemilang
Berita :
EXCO Empat Negeri Sepentas Kongsi Perspektif Keusahawanan di Haraki Fest 2026
EXCO Empat Negeri Sepentas Kongsi Perspektif Keusahawanan di Haraki Fest 2026
Mastura Jamal Din
2 jam yang lepas
102

KUALA TERENGGANU, 29 September – Empat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) dari Terengganu, Kedah, Kelantan dan Negeri Sembilan bakal berkongsi perspektif serta pengalaman berkaitan pembangunan keusahawanan menerusi sesi dialog khas sempena Haraki Fest 2026 di sini.

Sesi berkenaan memberi peluang kepada usahawan dari seluruh negara mendapatkan pandangan secara langsung mengenai pendekatan pembangunan keusahawanan di setiap negeri, selain bertukar idea dan mengenal pasti ruang kerjasama baharu.

Ahli Jawatankuasa Khas Jaringan Perniagaan dan Padanan Usahawan, Coach Norlukmal Mat Ghani berkata, penglibatan empat Exco dari negeri berbeza menjadikan Haraki Fest 2026 bukan sekadar medan menghimpunkan usahawan, malah platform pertukaran pandangan antara pembuat dasar dan komuniti perniagaan.

“Ini antara pengisian yang kita mahu ketengahkan kerana usahawan boleh mendengar sendiri pandangan daripada wakil kerajaan negeri mengenai pembangunan keusahawanan.

“Pada masa sama, mereka boleh bertukar idea dan berkongsi pengalaman mengenai cabaran serta peluang yang ada dalam bidang keusahawanan,” katanya.

Menurut beliau, sesi dialog itu merupakan antara pengisian utama Haraki Fest 2026 yang berlangsung selama empat hari mulai 1 hingga 4 Oktober di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), Kuala Terengganu.

Tambahnya lagi, Haraki Fest 2026 dianjurkan Kelab Usahawan Haraki Malaysia (KU HARAKI) bersama Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU).

Katanya, program tersebut dirangka bukan sekadar sebagai karnival jualan, sebaliknya menyediakan ruang kepada usahawan membina jaringan, mendapatkan ilmu serta meneroka peluang perniagaan baharu.

“Ini bukan sekadar karnival untuk datang melihat gerai dan membeli produk. Kita mahu usahawan datang untuk membina jaringan, mencari peluang kerjasama dan melihat sendiri potensi pasaran yang ada.

“Justeru, kita mengalu-alukan usahawan dari seluruh negara untuk hadir dan mengambil peluang sepanjang empat hari program ini,” katanya.

Selain sesi dialog EXCO, Haraki Fest turut menampilkan Sesi Perkongsian Ikon Usahawan pada 3 Oktober yang menghimpunkan enam tokoh usahawan dari beberapa negeri dengan latar belakang dan kepakaran berbeza.

Norlukmal berkata, perkongsian tersebut merangkumi pelbagai aspek termasuk wakaf dalam perniagaan, persediaan usahawan ke arah penyenaraian awam awal (IPO), kewangan dan percukaian, pembangunan produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta pembinaan jenama.

Turut diadakan Explore Haraki Fest 2026 yang memberi peluang kepada peserta mengenali potensi pasaran Terengganu menerusi lawatan sekitar Kuala Terengganu sebelum berakhir di Kompleks Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU).

Sementara itu, Haraki Fest turut menyediakan pelbagai aktiviti untuk masyarakat umum menerusi Pesona Keluarga Terengganu yang merangkumi pertandingan memasak, gubahan bunga, mewarna dan permainan tradisional, selain persembahan nasyid serta cabutan bertuah.

Turut diadakan Haraki Ikon Siri 2: “Bangkit, Bina, Berjaya”, Jejari Al-Quran Bersama Yayasan Restu dan Forum Perdana – Usahawan Berjaya Di Sini dan Sana.

Kemuncak program pada 4 Oktober ialah Kongres Ekonomi Rakyat Terengganu sebelum diikuti Majlis Penutupan Haraki Fest 2026.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan