Jalur Gemilang
Berita :
Gajah : Tangkap Pindah Penyelesaian Terbaik , Bukan Memisahkan Keluarga
Gajah : Tangkap Pindah Penyelesaian Terbaik , Bukan Memisahkan Keluarga
Hidayah Azlin
12 jam yang lepas
97

TERENGGANU , 4 September– Langkah operasi tangkap dan pindah bagi menangani konflik gajah liar dengan manusia disifatkan sebagai pilihan terakhir yang dilaksanakan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) demi keselamatan penduduk serta kelangsungan hidup haiwan berkenaan.

Mantan Pengerusi Tabung Amanah Gajah Liar Negeri Terengganu, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, persepsi masyarakat yang menganggap tindakan pemindahan tersebut sebagai kejam atau memisahkan gajah daripada 'keluarganya' adalah kurang tepat.

Menurut beliau, sepanjang tempoh menguruskan pemindahan belasan ekor gajah liar sebelum ini, semua gajah yang ditangkap merupakan gajah jantan yang bergerak bersendirian (solitary) dan menimbulkan ancaman kepada penduduk setempat.

"Tiada gajah yang dipisahkan daripada kumpulannya secara paksa. Punca haiwan itu terkeluar daripada kumpulan ada pelbagai faktor, antaranya tewas dalam persaingan untuk menjadi jantan dominan dalam kawanan berkenaan.

"Sifat semula jadi gajah memang sentiasa berjalan dan merayau. Namun, ada pihak yang mengukur kehidupan haiwan ini menggunakan sudut pandang manusia hingga timbul pelbagai tafsiran kurang tepat seperti gajah rindu keluarga atau mahu pulang ke habitat asal," katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau, di sini, semalam

Dr Azman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu menegaskan, pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sentiasa mengambil pelbagai langkah awal sebelum memutuskan untuk melaksanakan operasi pemindahan.

Jelas beliau, antara tindakan pencegahan yang dilaksanakan termasuklah pembinaan Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG), pemasangan lampu LED serta operasi tembak halau bagi mengelakkan haiwan itu menghampiri kawasan petempatan.

Mengulas mengenai kos, beliau memberitahu pemindahan seekor gajah memerlukan belanja yang besar iaitu sekitar RM40,000 hingga RM50,000.

"Kos tersebut merangkumi proses pemantauan, operasi menjejaki, suntikan ubat pelali, tempoh penenangan selama tiga hari, penggunaan dua ekor gajah denak untuk mengiringi, sehinggalah haiwan itu selamat dipindahkan ke Taman Negara atau Taman Negeri yang jauh dari kawasan konflik.

"Pilihan yang ada adalah membiarkan haiwan ini hidup bebas di habitat asalnya di hutan belantara. Memasukkan semua gajah ke zoo atau pusat konservasi bukan sahaja tidak praktikal, malah memerlukan kos penjagaan yang amat tinggi," ujarnya sambil menggesa mana-mana pihak yang membantah untuk mengemukakan solusi alternatif yang lebih kukuh.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan