Jalur Gemilang
Berita :
Generasi Selepas Merdeka Pikul Amanah Pertahan Negara – ADUN Sura
Generasi Selepas Merdeka Pikul Amanah Pertahan Negara – ADUN Sura
Naim Fadhilah Kamaruddin
11 jam yang lepas
35

DUNGUN, 31 Ogos – Generasi yang lahir selepas kemerdekaan perlu menyedari besarnya pengorbanan generasi terdahulu dan tidak mengambil mudah nikmat kebebasan yang dinikmati hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi, berkata sebahagian besar generasi muda hari ini tidak melalui sendiri pengalaman perjuangan mendapatkan kemerdekaan kerana mereka dilahirkan ketika negara sudah bebas daripada penjajahan.

“Sebahagian besar yang ada dalam dewan ini adalah generasi muda yang mungkin kita lahir-lahir itu, negara ini sudah merdeka.

“Jadi kita kena jaga nikmat kemerdekaan yang diberikan oleh Allah SWT,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Ambang Merdeka peringkat DUN Sura di Dewan Arena Merdeka, di sini, malam tadi.

Menurutnya, generasi awal negara telah menunjukkan pengorbanan yang besar bagi memastikan Malaysia mencapai kemerdekaan, justeru generasi hari ini perlu meneruskan tanggungjawab mempertahankan nikmat tersebut.

“Generasi awal kita telah menunjukkan satu pengorbanan yang cukup besar agar negara ini merdeka,” katanya.

Dr. Tengku Muhammad berkata, semangat mempertahankan kemerdekaan perlu terus dipupuk dalam kalangan rakyat supaya pengorbanan generasi terdahulu tidak dilupakan.

Katanya, kecintaan kepada negara juga perlu berjalan seiring dengan kecintaan kepada Rasulullah SAW, khususnya dalam suasana sambutan Hari Kebangsaan yang berlangsung berdekatan dengan Maulidur Rasul.

“Pada malam ini, bercantumlah dua kecintaan. Kecintaan kita kepada Rasulullah SAW dan yang kedua adalah hubbul watan, kesetiaan dan kecintaan kita kepada tanah air dan negara ini,” katanya.

Sambutan Malam Ambang Merdeka peringkat DUN Sura turut menampilkan pengisian selawat, persembahan seni silat dan pertunjukan bunga api.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan