Berita :
Hakim Danish Bukti Anak Terengganu Mampu Cipta Nama Di Pentas Dunia
Hakim Danish Bukti Anak Terengganu Mampu Cipta Nama Di Pentas Dunia
Rohayati Ripin
8 jam yang lepas
109

KUALA TERENGGANU, 2 Jun – Kejayaan pelumba muda negara, Muhammad Hakim Danish Ramli meraih podium ketiga (P3) dalam perlumbaan Moto3 Grand Prix Itali menjadi bukti bahawa anak Terengganu mampu mencipta nama di pentas antarabangsa melalui usaha gigih dan semangat juang tinggi.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau mengikuti perkembangan Hakim Danish sejak usia muda dan melihat sendiri potensi besar yang dimiliki pelumba berkenaan.

Menurutnya, daripada seorang bakat muda yang menjanjikan, Hakim Danish kini berjaya berdiri di pentas dunia sambil membawa nama Malaysia dengan penuh keberanian dan disiplin.

"Kejayaan ini pasti lahir daripada kerja keras, pengorbanan ahli keluarga, pasukan, jurulatih serta semangat yang luar biasa daripada adik Danish.

"Hakim Danish telah membawa mesej penting kepada generasi muda negara bahawa kejayaan memerlukan kesungguhan, fokus dan keberanian untuk bermimpi lebih besar daripada kebiasaan," jelasnya dalam kenyataan media sosialnya, semalam.

Ahmad Samsuri turut menzahirkan ucapan tahniah atas pencapaian membanggakan tersebut dan berharap pelumba muda itu terus istiqamah, mengekalkan sifat rendah diri serta terus mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Beliau menambah, kejayaan Hakim Danish bukan sahaja membanggakan rakyat Terengganu, malah menjadi sumber inspirasi kepada golongan muda untuk berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang yang diceburi.

"Semoga terus istiqamah, kekal rendah diri dan terus mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

"Malaysia bangga dengan anda. Syabas Hakim Danish!," katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan