KUALA NERUS, 5 April - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin terus mengekalkan aura teka-teki mengenai status ‘rumah baharu’ politik yang bakal diumumkan, malah memberi petunjuk bahawa wadah tersebut mungkin sebuah parti sedia ada dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).
Bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menjelaskan, istilah ‘rumah baharu’ tidak semestinya merujuk kepada penubuhan parti baharu secara rasmi.
“Ya… kemungkinan parti yang sedia ada. Insya-Allah, apa salahnya (menyertai PAS).
"Pada saya, rumah saya itu rumah baru saya, tapi rumah itu mungkin sudah tersedia ada,” jelasnya selepas program Pidato Penyatuan Ummah sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 di Kompleks Sukan Terengganu, semalam.

“19 daripada 25 ahli Parlimen Bersatu bersama saya.
Siapa yang tidak wajarnya?” katanya.
Beberapa ADUN dari seluruh negara dijangka mengikuti langkah beliau.
Menjawab persoalan hala tuju parti tersebut, Hamzah menekankan fokus perjuangan adalah kepada kepimpinan Melayu yang adil serta berpegang kepada prinsip agama dan Rukun Negara, melangkaui soal politik individu.
Beliau dipecat daripada Bersatu berkuat kuasa 13 Februari 2026 berikutan keputusan Lembaga Disiplin parti yang mendakwa beliau melanggar perlembagaan parti.
Desas-desus kini menimbulkan spekulasi bahawa Hamzah bakal memimpin Parti Keluarga Malaysia, langkah yang disokong pengasas parti, Khairi Jaya, bagi meneruskan kelangsungan perjuangan politik beliau.

Tag :