Berita :
Ijtima Perpaduan Ummah Satukan Tokoh Serantau
Ijtima Perpaduan Ummah Satukan Tokoh Serantau
Rohayati Ripin
1 hari yang lepas
29

KUALA TERENGGANU, 18 Mac – Terengganu terus mengorak langkah sebagai pusat dakwah dan penyatuan serantau apabila bakal menganjurkan Ijtima Perpaduan Ummah kali kelima bertaraf antarabangsa, yang menghimpunkan tokoh-tokoh dari negara serumpun.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, penganjuran bertemakan Alam Melayu itu akan melibatkan penyertaan negara seperti Indonesia, Thailand, Vietnam dan Brunei.

Katanya, program berkenaan bukan sahaja menjadi medan dakwah, malah berperanan sebagai platform memperkukuh hubungan serantau berasaskan identiti Melayu dan Islam.

“Tema kepada ijtima ini ialah Satu Ummah. Dalam konteks Malaysia, kita mahu orang Melayu dan umat Islam bersatu, khususnya dalam wadah politik.

“Kita boleh berbeza pandangan dalam pelbagai isu dan berada dalam mana-mana pertubuhan, namun dalam menentukan kuasa politik, kita mesti bersatu agar kepimpinan negara dipimpin oleh umat Islam, khususnya orang Melayu.

“Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta hak orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan wajar diperkukuh, dan program ini diharap menjadi platform penyatuan umat Melayu di negara ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas program Berbuka Puasa Menteri Besar bersama media dan pempengaruh 2026 di Permai Hotel, semalam.

Tambahnya, antara pengisian utama termasuk forum ilmiah, wacana perpaduan dan perkongsian sejarah perkembangan Islam di rantau ini.

“Ijtima ini akan menghimpunkan tokoh-tokoh dari pelbagai negara bagi membincangkan isu umat dan memperkukuh jaringan kerjasama dalam konteks Alam Melayu,” ujarnya.

Katanya lagi, tokoh antarabangsa, Dr. Zakir Naik dijangka hadir bagi membincangkan peranan pendakwah dari India dalam penyebaran Islam ke Alam Melayu.

“Insya-Allah, kita akan menjemput tokoh-tokoh dari Vietnam, Thailand dan Indonesia. Kita juga telah mendapat persetujuan Dr. Zakir Naik.

“Pemilihannya berdasarkan peranan India sebagai antara saluran penting penyebaran Islam ke Alam Melayu, dan beliau dijangka menghuraikan bagaimana dakwah tersebut berkembang hingga ke rantau ini,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau berkata satu pentas khas pada malam kemuncak akan menghimpunkan tokoh politik Melayu daripada pelbagai parti termasuk PAS, UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan Parti Pejuang Tanah Air serta wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Sebenarnya program ini terbuka. Kita menjemput semua pihak daripada pelbagai parti politik. Pada malam akhir, akan diadakan satu pentas khas yang menghimpunkan tokoh utama parti-parti politik Melayu serta wakil NGO,” tambahnya.

Selain itu, pelbagai aktiviti kebudayaan turut dirancang seperti pertunjukan silat, pertandingan memanah, wau dan pameran busana Melayu sebagai usaha mengangkat warisan tradisi.

Tambah beliau, program tersebut menyasarkan kehadiran sehingga 100,000 pengunjung dan dijangka menjadi antara himpunan terbesar yang menggabungkan elemen dakwah, budaya serta perpaduan umat di rantau ini.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan