Berita :
Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Platform Perpaduan Ummah Rentas Negara
Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Platform Perpaduan Ummah Rentas Negara
Ahmad Zaeem Zainudin
13 jam yang lepas
131

KUALA NERUS, 2 April - Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Dan Penyatuan Alam Melayu 2026 menjadi medan penting dalam usaha memperkukuh kesatuan ummah merentasi sempadan negara, ketika dunia Islam berdepan cabaran perpecahan dan kepelbagaian pandangan yang semakin ketara.

Majlis perasmian karnival yang berlangsung di Perkarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu hari ini menghimpunkan penyertaan pelbagai negara serantau termasuk Indonesia, Brunei, Thailand, Filipina, Singapura, Sri Lanka dan Vietnam dalam usaha membina jaringan ukhuwah yang lebih kukuh.

Mewakili Menteri Besar, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato' Mohd Nor Hamzah di dalam ucapan perasmiannya menegaskan bahawa tema "Satu Ummah" bukan sekadar slogan, sebaliknya satu keperluan mendesak dalam menghadapi realiti semasa yang menyaksikan perbezaan mudah mencetuskan jurang dalam masyarakat.

"Seruan untuk kembali kepada kesatuan bukanlah retorik, tetapi satu keperluan bagi menjamin kestabilan dan kesejahteraan masyarakat.

"Di Alam Melayu, kita mewarisi satu tradisi yang panjang iaitu tradisi yang membentuk cara kita berfikir, berbahasa, dan bernegara. Apabila Islam datang, ia tidak memadamkan warisan ini, bahkan menyusunnya dengan nilai dan adab yang lebih tinggi.

"Dari situlah lahirnya jati diri Melayu-Islam yang sederhana, seimbang dan berakar umbi," katanya.

Dalam konteks itu, perbezaan pandangan dalam kalangan umat Islam dilihat sebagai suatu realiti yang tidak dapat dielakkan, namun perlu diurus dengan pendekatan berasaskan ilmu, adab dan saling menghormati.

"Kekuatan sebenar sesebuah ummah terletak pada keupayaan mengurus perbezaan dengan matang," tambahnya.

Selain menekankan aspek kesatuan, ucapan beliau turut menekankan aspek ekonomi sebagai tunjang utama dalam memastikan kelangsungan kekuatan ummah, dengan usaha memperkukuh keupayaan dan membuka peluang secara lebih tersusun.

"Tanpa kekuatan ekonomi, kita akan terus bergantung dan mudah terdedah kepada tekanan luar," ujarnya.

Seiring dengan itu, kepimpinan berintegriti yang jelas prinsip dan amanahnya turut disifatkan sebagai elemen penting dalam membina masyarakat yang stabil dan berwibawa.

Majlis perasmian yang membuka tirai program bertaraf antarabangsa itu turut diserikan dengan gimik perarakan bendera setiap negara, dibawa oleh bentara yang mengenakan pakaian tradisional masing-masing sebelum diserahkan kepada barisan kepimpinan negeri Terengganu dan dipacak di hadapan pentas utama.

Sementara itu, Pengarah Program, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata penganjuran karnival selama tiga hari itu merupakan langkah strategik dalam mendepani cabaran globalisasi dan perpecahan ummah.

Menurutnya, program tersebut bukan sahaja menghimpunkan tokoh dan peserta dari pelbagai negara, malah berfungsi sebagai platform merumuskan penyelesaian praktikal termasuk dalam bidang ekonomi dan pendidikan.

"Sesungguhnya, tanpa kerjasama erat dan semangat berpasukan daripada semua urusetia agensi, program yang penuh bermakna ini tidak mungkin dapat direalisasikan dengan sempurna.

"Saya berharap agar karnival ini tidak sekadar menjadi majlis keramaian, tetapi menjadi titik tolak kepada kebangkitan ummah yang berwibawa, matang dalam mengurus perbezaan, dan teguh jati dirinya," kata beliau.

Sepanjang penganjuran selama tiga hari bermula hari ini, pelbagai pengisian diadakan termasuk persidangan meja bulat Alam Melayu, pameran, aktiviti lapangan serta program kerohanian seperti Malam Melayu Berselawat.


Ketupat

Artikel Berkaitan