KUALA TERENGGANU, 18 Mac – Seramai 191 orang Imam dan Bilal dari seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut menerima wang saguhati dan bakul makanan dalam satu majlis penghargaan yang diadakan di Masjid As-Syakirin, Pasir Akar.
Majlis tersebut menyaksikan sumbangan keseluruhan berjumlah RM19,100 disalurkan sebagai tanda penghargaan kepada golongan berkenaan atas jasa dan pengorbanan mereka dalam memakmurkan masjid serta membimbing masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin berkata, sumbangan itu merupakan penghargaan atas peranan besar yang dimainkan oleh para Imam dan Bilal dalam kehidupan masyarakat setempat.
“Sesungguhnya para Imam dan Bilal memainkan peranan yang amat besar dalam memakmurkan rumah Allah serta membimbing masyarakat ke arah kehidupan yang lebih berlandaskan agama,” katanya ketika dihubungi hari ini.

“Kita ingin melihat masjid sentiasa hidup dengan kuliah dan majlis ilmu, surau dipenuhi dengan jemaah, serta anak-anak muda sentiasa dekat dengan masjid.
“Semua ini pastinya tidak akan berlaku tanpa peranan besar, kesungguhan dan pengorbanan para Imam dan Bilal di setiap kariah,” ujarnya.
Beliau turut berharap para Imam dan Bilal terus diberikan kesihatan yang baik serta kekuatan untuk melaksanakan amanah tersebut demi memastikan masjid terus makmur dan masyarakat setempat terus terbimbing ke arah kehidupan yang lebih sejahtera.

Tag :