Jalur Gemilang
Berita :
Isu NAM: MP Besut Persoal Keberkesanan Mekanisme Kerajaan
Isu NAM: MP Besut Persoal Keberkesanan Mekanisme Kerajaan
Mohd Hafiz Azrin Abdul Razak
29 Sep 26
75

BESUT, 1 Oktober – Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh mempersoalkan keberkesanan mekanisme pencegahan kerajaan terhadap penularan fahaman New Age Movement (NAM), khususnya apabila isu berkenaan dikaitkan dengan individu dalam Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Beliau berkata, perkara itu lebih serius kerana JPM Hal Ehwal Agama merupakan institusi yang bertanggungjawab dalam urusan agama Islam di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Katanya, isu tersebut perlu diberikan perhatian sewajarnya dan tidak seharusnya hanya diselesaikan melalui teguran secara tertutup sekiranya terdapat unsur yang boleh menimbulkan kekeliruan terhadap akidah umat Islam.

“Persoalannya, bagaimanakah ada individu yang memegang posisi dalam jabatan berkenaan boleh menembusi radar langkah-langkah pencegahan ini?

“Apa-apa jawatan penting dalam JPM Hal Ehwal Agama bukanlah amanah kecil yang boleh dipandang enteng dan dilantik secara sembarangan sehingga kekurangan berkaitan akidah sebegini boleh dibiarkan terlepas begitu sahaja,” jelasnya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, isu NAM pernah dibawa dalam persidangan Parlimen pada Januari lalu menerusi soalan kepada Kerajaan berhubung penularan fahaman berkenaan dalam kalangan umat Islam di Malaysia.

Tambahnya, antara mekanisme yang dinyatakan dalam jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ketika itu ialah pemantauan dan tindakan terhadap pihak yang menyebarkan ajaran menyeleweng melalui program motivasi dan perundingan latihan.

Selain itu, katanya, penceramah yang mengajar aspek agama Islam juga perlu mendapatkan tauliah daripada pihak berkuasa agama negeri bagi memastikan pengajaran berlandaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Kerajaan sebelum ini turut memaklumkan langkah memperkemas garis panduan program motivasi berunsur Islam dengan memasukkan larangan terhadap unsur NAM seperti law of attraction, chakra, tantra dan breathwork. 

Dalam perkembangan terbaharu, JAKIM dilaporkan telah mengadakan sesi pertemuan dan tabayyun bersama Timbalan Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli berhubung dakwaan yang mengaitkan beliau dengan unsur NAM.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata sesi berkenaan turut melibatkan Mufti Wilayah Persekutuan dan Panel Pakar Akidah JAKIM bagi meneliti perkara itu berdasarkan disiplin akidah serta autoriti agama. 

Mengulas perkara itu, Datuk Che Mohamad Zulkifly berkata tindakan yang diambil perlu dilihat secara serius kerana ia membabitkan persoalan akidah dan integriti institusi agama.

“Bagi membersihkan nama institusi agama dan kesucian akidah umat Islam di Malaysia, Kerajaan seharusnya mengambil tindakan lebih tegas dan berprinsip dalam menangani isu ini.

“Mengadakan sesi teguran bersemuka adalah langkah ala kadar yang tidak lebih daripada hanya a slap on the wrist untuk kesalahan besar melibatkan kemurnian akidah seseorang yang diberikan amanah dalam sebuah jabatan hal ehwal agama Islam dalam Kerajaan kini,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan dakwaan bahawa unsur NAM pernah muncul dalam program rasmi kerajaan yang melibatkan individu berkenaan, termasuk program tadabbur al-Quran Soul to Soul pada Disember 2023.

Menurutnya, perkara tersebut wajar diperjelaskan secara menyeluruh bagi memastikan institusi agama kerajaan tidak terpalit dengan sebarang fahaman atau pendekatan yang bercanggah dengan prinsip akidah Islam.

Sebagai rekod, beberapa institusi agama di Malaysia turut memberi perhatian terhadap ancaman NAM. JAKIM sendiri mempunyai kursus khusus berkaitan bahaya NAM, manakala Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada September 2026 menganjurkan Seminar Kesedaran Akidah bertemakan New Age Movement: Gerakan Ajaran Baharu di Era Moden. 



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan