Jalur Gemilang
Berita :
Jambatan Baharu  RM54 Juta Bakal Ubah Langskap Jertih
Jambatan Baharu RM54 Juta Bakal Ubah Langskap Jertih
Mastura Jamal Din
6 jam yang lepas
64

BESUT, 21 Oktober - Pembangunan infrastruktur strategik termasuk pembinaan jambatan baharu bernilai RM54 juta dijangka menjadi pemangkin kepada perubahan landskap bandar Jertih, sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi penduduk setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Dr. Riduan Mohamad Nor berkata, projek berkenaan bukan sahaja bertujuan meningkatkan kecekapan perhubungan, malah dijangka membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas, terutama ketika musim perayaan dan cuti persekolahan.

Menurutnya, Jertih sebagai antara laluan penting bagi pelancong yang memasuki Terengganu turut berdepan peningkatan aliran trafik pada waktu puncak, termasuk hujung minggu.

“Apabila jambatan ini siap, ia akan membantu melancarkan pergerakan kenderaan dan memberikan keselesaan kepada penduduk serta pengunjung yang melalui kawasan ini.

“Pada masa sama, pembangunan ini akan mengubah landskap bandar Jertih dan membuka lebih banyak ruang untuk perkembangan ekonomi rakyat tempatan,” katanya.

Tambah beliau berkata, projek jambatan berkenaan dijangka siap pada Januari 2030.

Riduan juga berkata, pembangunan infrastruktur perlu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang yang mampu meningkatkan daya tarikan sesebuah kawasan, khususnya dalam menarik aktiviti perniagaan dan pelaburan.

Katanya, kemudahan jalan raya yang lebih baik juga berpotensi menyokong pertumbuhan sektor pelancongan serta meningkatkan keyakinan peniaga untuk mengembangkan perniagaan di Jertih.

“Apabila perhubungan semakin baik dan kemudahan bandar bertambah, manfaatnya bukan sekadar kepada pengguna jalan raya, tetapi turut membuka peluang ekonomi dan pekerjaan kepada penduduk setempat, khususnya golongan muda,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan berkenaan mencerminkan kepentingan penyediaan infrastruktur yang terancang bagi memastikan Jertih terus berkembang sebagai pusat tumpuan ekonomi di daerah Besut.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan