BESUT, 21 Oktober – Program Jelajah Darul Iman yang dilaksanakan kerajaan negeri menjadi platform penting dalam memastikan maklumat berkaitan dasar, inisiatif dan usaha pembangunan negeri dapat disampaikan secara terus kepada masyarakat.
Pendekatan secara bersemuka menerusi program seumpama itu bukan sahaja memudahkan rakyat mendapatkan maklumat yang tepat, malah membuka ruang komunikasi dua hala antara kerajaan negeri dengan masyarakat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Dr. Riduan Mohamad Nor berkata, usaha berkenaan wajar diteruskan dan diperkasakan dengan pengisian lebih menarik bagi meningkatkan penyertaan serta keberkesanannya.
Menurut beliau, program yang mengangkat tema Mendekati Rakyat, Menyampaikan Maklumat itu mempunyai potensi besar untuk menjadi medium penerangan yang lebih dekat dengan masyarakat, khususnya melalui pendekatan santai dan interaktif.
Bagaimanapun, katanya, beberapa penambahbaikan boleh dilaksanakan bagi memastikan program berkenaan bukan sekadar menjadi medan penyampaian maklumat, malah turut memberikan manfaat dari sudut ilmu dan pembangunan rohani.
“Kalau boleh, program ini dipakejkan dengan pengisian dakwah, tazkirah dan sesi soal jawab agama. Kita boleh jemput ustaz atau pendakwah untuk menyampaikan tazkirah selama 30 hingga 40 minit, kemudian disusuli sesi soal jawab dengan orang ramai.
“Pendekatan ini boleh menjadikan program lebih menarik, di samping memberi nilai tambah kepada pengunjung yang hadir,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman di program berkenaan di Pasar Tani Alor Lintah di sini hari ini.

Selain itu, penyediaan risalah penerangan yang mudah difahami juga perlu diberi perhatian bagi membantu orang ramai memahami maklumat berkaitan dasar, program dan inisiatif kerajaan negeri dengan lebih jelas.

Program tersebut dijadual menjelajah tiga daerah berkenaan sebelum penghujung tahun ini, dengan sasaran kira-kira 900 pengunjung menerusi pendekatan penerangan secara bersemuka, santai dan interaktif.Sementara itu, beberapa pengunjung menyifatkan program berkenaan sebagai wadah yang baik untuk mendapatkan maklumat secara langsung, selain memberi peluang kepada masyarakat memahami usaha kerajaan negeri dan berinteraksi dengan pihak penganjur.
Sementara itu, peniaga, Radzuan Mamat, 56, menyifatkan program berkenaan sebagai inisiatif baik kerana membolehkan maklumat berkaitan kerajaan negeri disampaikan secara terus kepada masyarakat.
Katanya, pendekatan turun padang seperti itu memudahkan rakyat mendapatkan maklumat yang tepat, selain memberi peluang kepada mereka memahami pelbagai usaha dan inisiatif yang dilaksanakan kerajaan negeri.
“Program seperti ini memang bagus kerana kerajaan turun ke bawah untuk menyampaikan maklumat secara terus kepada rakyat. Dengan cara ini, masyarakat lebih mudah mengetahui perkembangan semasa serta memahami usaha yang dilaksanakan untuk kepentingan mereka,” katanya.
Bagi Husain Yajip, 62, kehadiran wakil rakyat sendiri ke lapangan merupakan pendekatan yang amat dihargai kerana membuktikan kesungguhan untuk mendekati dan menyantuni masyarakat.
Menurutnya, rakyat bukan sahaja mahu mengetahui maklumat berkaitan kerajaan, malah menghargai kesediaan pemimpin untuk turun padang, bertemu masyarakat dan mendengar sendiri pandangan serta keperluan mereka.
“Bagi saya, memang terbaik apabila wakil rakyat turun sendiri ke lapangan untuk bertemu masyarakat. Rakyat mahu pemimpin hadir, menyantuni mereka dan mendengar sendiri apa yang diperlukan, bukan sekadar menyampaikan maklumat dari jauh,” katanya.