KUALA TERENGGANU, 23 Julai – Pelan Strategik Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT) 2026–2030 menjadi komitmen kerajaan negeri untuk memperkukuh sistem pendidikan Islam agar terus berkualiti, relevan dan berdaya saing dalam menghadapi perubahan semasa.
Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, pelan tersebut bukan sekadar dokumen pentadbiran, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tindakan yang jelas, dipantau secara berkala dan dinilai berdasarkan hasilnya.
Menurutnya, keberkesanan pelan berkenaan mesti dapat dirasai oleh pelajar, guru, ibu bapa serta masyarakat secara keseluruhannya.
“Pelaksanaannya juga hendaklah berteraskan nilai integriti, akauntabiliti, profesionalisme dan ihsan, selaras dengan aspirasi ‘Pentadbiran Dinamik, Perkhidmatan Cemerlang’.
“Aspirasi ini menuntut organisasi supaya lebih responsif, terbuka kepada pembaharuan dan sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hafl Wafa’ Wa Taqdir dan Pelancaran Buku Pelan Strategik JPINT 2026–2030 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Katanya, kejayaan pendidikan tidak seharusnya diukur berdasarkan pencapaian akademik semata-mata, tetapi turut merangkumi pembentukan sahsiah, adab dan rasa tanggungjawab.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, institusi pendidikan Islam perlu bergerak seiring dengan kemajuan teknologi, kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan.
“Kaedah pengajaran, pengurusan sekolah serta kompetensi guru perlu terus diperkasakan dari semasa ke semasa.
“Bagaimanapun, teknologi mesti dimanfaatkan secara bijaksana serta dipandu oleh prinsip syariah dan nilai Islam,” ujarnya.
Menurut beliau, teknologi mampu meningkatkan keberkesanan proses pengajaran, namun tidak sesekali dapat menggantikan peranan guru sebagai murabbi, pembimbing dan teladan kepada pelajar.
Justeru, beliau berharap Pelan Strategik JPINT 2026–2030 dapat memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran serta memantapkan profesionalisme pendidik.
“Matlamat akhirnya adalah untuk melahirkan pelajar yang cemerlang bukan sahaja dari segi ilmu, tetapi juga akhlak dan sahsiah,” katanya.