Jalur Gemilang
Berita :
Kanada, Eropah Intai Pelaburan Strategik Di Terengganu
Kanada, Eropah Intai Pelaburan Strategik Di Terengganu
Rohayati Ripin
1 hari yang lepas
82

Oleh : Siti Mariah Mohd Basri

BESUT, 5 November – Terengganu berpotensi menarik pelaburan dari Kanada dan Eropah menerusi penerokaan tiga sektor strategik iaitu industri hiliran pasir silika, ekonomi maritim serta teknologi tenaga baharu.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, perkara itu antara peluang kerjasama yang dibincangkan dalam pertemuan bersama Duta Besar Kanada ke Malaysia, H.E. Jodi Robinson, dalam kunjungan rasmi beliau ke Terengganu.

Menurutnya, antara potensi utama yang mendapat perhatian ialah pembangunan industri hiliran pasir silika bagi memastikan sumber bernilai tinggi itu tidak hanya dieksport sebagai bahan mentah.

"Terengganu mempunyai sumber pasir silika yang berpotensi dibangunkan sebagai industri berimpak besar melalui sektor pertengahan dan hiliran.

"Usaha ini bukan sahaja mampu menarik pelaburan asing, malah meningkatkan nilai tambah sumber negeri serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan," jelasnya ketika ditemui selepas pertemuan, pada Isnin.

Tambahnya, perbincangan turut menyentuh potensi ekonomi lautan dan industri limbungan kapal (shipyard), termasuk minat pelabur serta anak jati Terengganu yang berjaya di peringkat antarabangsa untuk kembali melabur di negeri sendiri.

Katanya, perkembangan itu membuka peluang kepada Terengganu untuk memperluas industri maritim dan merancakkan aktiviti ekonomi berasaskan sumber laut.

Dalam perkembangan lain, Kanada turut menyatakan kesediaan berkongsi kepakaran teknologi tenaga nuklear yang telah dibangunkan dan digunakan negara itu sejak lebih 60 tahun lalu.

"Walaupun teknologi ini masih baharu dalam konteks penerokaan di Malaysia dan Terengganu, perkongsian kepakaran berkenaan boleh menjadi langkah awal untuk meneliti potensi sumber tenaga masa depan.

"Bagaimanapun, aspek keselamatan, kawal selia, perlindungan alam sekitar dan kesan terhadap masyarakat perlu diberikan perhatian serius," ujarnya.
Mohd Nurkhuzaini berkata, hubungan kerjasama antarabangsa seperti itu penting bagi membawa masuk bukan sahaja pelaburan, malah kepakaran dan teknologi baharu untuk memperkukuh pembangunan ekonomi negeri.

Tambah beliau, pembangunan sumber negeri perlu dilaksanakan secara menyeluruh supaya manfaatnya dapat diterjemahkan kepada peluang pekerjaan, pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan